Friday, July 29, 2011

Artikel : Seimbas Catatan Kebangkitan Mahasiswa


Beberapa hari lagi bulan Ogos bakal dijejak. Seperti biasa segala wayang-wayang sejarah mula dimainkan semula. Barangkali kebanyakan remaja belia kini begitu bosan menatap catatan-catatan sejarah negara kita dahulu. Sehinggakan mereka terlupa atau mungkin buta betapa di sebalik sejarah itu terselit catatan bermakna buat panduan mereka .

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak sedar atau mungkin langsung tidak ambil pusing betapa langit merdeka yang menaung mereka hari ini, bersamanya ada bayu perjuangan mahasiswa. Sedarkah kita?

Sepintas Lalu Sejarah Gerakan Mahasiswa

Menyorot perjuangan mahasiswa, merekalah antara generasi yang menjadi penyumbang dan pengisi kemerdekaan negara. Di saat negara memerlukan sumber-sumber segar untuk pembinaan dan pembangunan negara, golongan mahasiswa bingkas bangun melibatkan diri secara proaktif dalam mencorakkan agenda negara dalam pelbagai bidang.

Kudrat muda yang terpagar di kampus-kampus rupanya tidak sekadar dipagari rasa penting diri sebaliknya merekalah yang berjiwa besar merajah satu-persatu catatan penting negara. Menurut Dato’ Saifuddin Abdullah dalam bukunya Kalau Saya Mahasiswa (2009) lintasan sejarah penting dunia perjuangan mahasiswa di tanah air mula melakarkan garisnya seawal tahun 1900-an. Bermula dengan usaha secara individu seperti nama-nama besar umpama Aminuddin Baki dan Abu Bakar Mohammad Arif sehinggalah kepada gagasan-gagasan pertubuhan pelajar seperti Gabungan Melayu Semenanjung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS).

Kemaraan gerakan mahasiswa ini terus menerus mewarnai kehidupan kampus belia, melakar sejarah demi sejarah sehinggalah kemuncaknya ketika tahun 2009 yang menyaksikan Akta Universiti dan Kolej Universiti lengkap dimaktubkan. Sesungguhnya, pasca 2009 menyaksikan pola pergerakan mahasiswa yang memiliki cabaran yang tersendiri. Namun, nadi gerakan pelajar tidak pernah terhenti malah berdenyut dengan lebih saksama dan berpendiri.

Gagasan Pelajar: Medan Memperjuangankan Hak

Laungan-laungan tentang perjuangan hak bukan lagi hanya teori tetapi sudah berjaya dizahirkan oleh sekian generasi mahasiswa. Ternyata, pencak mereka tidak lagi tersekat di medan akademik semata malah, pelbagai isu telah berjaya dijulang. Hal ini telah menangkis kenyataan-kenyataan bahawa mahasiswa hanya golongan yang tenggelam dalam teori yang idealistik semata-mata.

Biarpun tidak memiliki kekuasaan yang besar dalam tampuk pemerintahan negara, namun kelompok mahasiswa ternyata memanfaatkan kemampuan yang seadanya demi menuntut hak-hak yang dicabuli. Sekadar menyatakan beberapa peristiwa terdahulu umpama Isu Bahasa Kebangsaan (1966), Isu Pencabulan Hak Penduduk Palestin (1973), Gerakan Pemansuhan PPSMI dan banyak lagi isu yang tegar diperjuangkan oleh generasi mahasiswa sehingga hari ini.

Perjuangan Mahasiswa: Satu Pengiktirafan

Terbukti di sana, gerak langkah para pemuda mula merintis satu persatu catatan sejarah sehingga menimbunkan pelbagai rencam penilaian, tafsiran mahupun natijah yang tersendiri tidak kiralah dalam rakaman sejarah mahasiswa itu sendiri, kampus, masyarakat mahupun negara.

Dato’ Saifuddin Abdullah juga amat optimis dalam mengiktiraf sumbangan gerakan mahasiswa terhadap sejarah umum dunia, "Walau apapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang dibuat terhadap gerakan mahasiswa, hakikatnya ia adalah satu proses yang amat dinamik dan progresif. Sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat mahupun negara atau sekurang-kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya. Sebagai sejarah dan penunjuk arah bagi gerakan dan pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara."

Mungkin tidak banyak catatan hitam putih sejarah mahasiswa dihidang buat tatapan umum. Tulisan Mohamad Abu Bakar dalam bukunya Mahasiswa Menggugat (1973) walaubagaimanapun telah menjadi antara peneroka rakaman gerakan mahasiswa. Peredaran masa seiring dengan kesedaran telah membawa banyak lagi tenaga dan usaha memperkasa bentangan bahan ilmiah berkaitan kajian gerakan mahasiswa sehinggalah hari ini.

Hakikatnya, keseluruhan catatan gerakan mahasiswa ini adalah tidak lain demi mengiktiraf betapa mahasiswa telah menjadi antara 'agent of change' yang turun bergelumang dalam pelbagai lapangan bidang dan isu di tengah-tengah masyarakat.

Polisi: Formula Kebangkitan Mahasiswa

Keseluruhan sejarah gerakan mahasiswa ternyata mengekstrak formula kebangkitan yang sama. Ya, polisi. Pencabulan polisi atau dasar perundangan merupakan antara rangka-rangka penting yang menjadi titik tolak kepada kesedaran mahasiswa untuk bingkas dari kancah penindasan dan kongkongan. Hal ini, dilihat sebagai 'turning point' yang menyemarakkan kemarahan dan kemaraan mahasiswa menuntut hak untuk dikembalikan pada duduk asalnya.

Posisi mahasiswa sebagai generasi yang belajar dan mendalami teori polisi secara lumat dalam bidang pengajian masing-masing telah membawa kelompok mahasiswa yang sedar akan tanggungjawab mereka untuk memastikan ketelusan polisi dilaksanakan dengan baik oleh pihak yang memegang polisi.

Dalam konteks ini, pemegang polisi itu termasuklah pemerintah negara, pentadbir universiti, pengelola pelajar atau mana-mana pihak berkuasa yang bertindak melaksanakan polisi.

Polisi yang terkandung dalam sistem sosial masyarakat, politik, ekonomi, mahupun polisi dalam sistem pendidikan yang begitu akrab dengan kehidupan mahasiswa memainkan peranan yang cukup penting dalam kelangsungan dan kelancaran perjalanan kehidupan masyarakat secara universalnya. Namun demikian, tatkala berlaku kepincangan pada polisi tersebut, mana mungkin golongan terpelajar ini mampu memeluk tubuh melihat nasib mereka bahkan nasib masyarakat diperjudikan sesuka hatinya.

Mahasiswa Kini: Di Mana Kita?

Catatan sebelum ini ternyata hanya menyebut garis-garis perak sejarah mahasiswa yang gemilang. Cukupkah sekadar berbangga dengan sejarah? Pasti rugi andai anda berpendirian demikian. Mengapa tidak kita selaku mahasiswa kini, menyambung nadi perjuangan yang tiada penghujungnya?

Melewati kelumpuhan jati diri belia hari ini, benar-benar menyesakkan dada. Jeriji besi penjara kian dipenuhi belia, pusat-pusat pemulihan akhlak remaja semakin sesak. Semuanya petanda malapetaka buat negara. Institusi pendidikan biarpun bercambah bilangannya, namun penghuninya kian berkurang 'nadi hidupnya'. Banyak yang tenggelam dengan perkara yang merosakkan identiti bangsa. Di mana letaknya pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara yang begitu diagung-agungkan selama ini?

Adakah anda mahu mengulang sejarah awal sang pemuda Habil dan Qabil yang begitu menggemparkan alam dengan sejarah meragut nyawa manusia (al-Mai’dah [5]: 27) 

Atau menjadi sang penggugat kerakusan manusia sebagaimana Nabi Ibrahim a.s yang menumpaskan Sang Namrud dan kaum yang derhaka (asy-Syu’ara’ [26]: 69)

Sudah sekian banyaknya kisah pemuda yang dari sisi gemilang dan malang yang disajikan Al-Quran untuk tatapan. Putuskan sekarang di mana dan apa pilihan anda.

Wahai mahasiswa! Cukup-cukuplah bersuka ria dengan hedonisme yang tiada guna. Ketepikanlah semua perbedaan suku, kaum, bidang pengajian hatta dimensi pemikiran yang cacamerba. Bangkitlah untuk membersihkan segala lumpur yang terpalit pada polisi kehidupan manusia.

Walau hanya berada di posisi mahasiswa yang masih muda perjalanan hidupnya, mengapa tidak dimanfaatkan keistimewaan kudrat yang masih gagah dan daya pemikiran yang masih segar untuk terus mencurah bakti.

Jika tidak mampu berada di pentas besar masyarakat, cukuplah tidak menjadi dayus dengan membiarkan hak diri sendiri diperkotak katik oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kelemahan mahasiswa.

Semarak kemaraan mahasiswa pasti menjadi lebih unggul andai seluruh tenaga muda ini menggabung tenaga membentuk gagasan yang lebih perkasa. Sesungguhnya, menjadi mahasiswa anda punya kuasa yang paling digeruni iaitu kuasa belajar! Belajar itu memerlukan segala yang mencabar minda dan kemampuan. Kuasa belajar itu membuatkan anda arif. Arif akan hak untuk membina diri malah hak untuk membina tamadun manusiawi. Belajarlah dari sejarah dahulu. Pedomannya terlalu tinggi untuk disia-siakan.

Info Penulis

Hani 'Izzati Yaakub merupakan pelajar perubatan Universiti al-Azhar. Beliau memegang jawatan Timbalan Pengarah PERUBATAN Frontliners Council (PROF) 2011. Aktif menulis di blog beliau, Tinta Qubnani.

Sumber :Perubatan.org

0 comments:

Post a Comment

TV Media Mesir