Assalamualaykom w.b.t.
YB Dato’ Dr Hasan Ali yang saya
hormati,
Saya kira tidak perlulah saya
perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya
kagumi. Saya kira, Dato’ juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat
Dato’ sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Dato’ sebagai motivator
semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato’ menceburkan diri ke
dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi
penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato’
mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang
telah Dato’ lemparkan kepada mantan parti Dato’ sendiri, iaitu PAS, di dalam
kenyataan-kenyataan Dato’ di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato’ yang
bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk
menulis surat terbuka ini.
Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik
Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat
terbuka ini kepada Dato’ untuk menilai beberapa kenyataan Dato’ dari
pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya. Saya
kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai
tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan
bukannya sebagai ahli politik. Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk
membela PAS dari serangan Dato’. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya
tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang
neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato’ mahupun kepada parti PAS yang
telah memecat Dato’.
Saya kira Dato’ mungkin telah maklum dengan pencapaian
gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir,
parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan
juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring).
Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang
telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga
perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan ‘perkongsian kuasa’
(power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’ melalui jaringan kerja
kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.
Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah
kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh
rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka.
Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak
lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa
kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam
tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak
bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan
hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh
Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif
disediakan di dalam negara mereka. Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai
penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan
pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad
lamanya oleh para diktator. Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan
pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap
dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini
sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).
Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat
dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat
tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan
perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses
kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang
lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan
Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi
gerakan-gerakan tersebut. Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan
melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan
keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda
kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS
yang Dato pernah sertai dahulu. Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh
model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan
melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak
golongan agama (Wilayatul Faqih).
Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih
ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan
negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan
keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik,
kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas
dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat
dari segala lapisan dan kumpulan. Menurut kajian saya ke atas wacana baru PAS,
terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari
arus perubahan ini. Jika Dato’ merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS
telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Dato’ tersilap. Perubahan
pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Dato’ dakwa, tetapi ianya
merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang.
Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya
kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin
di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit. Timbul dilemma di
dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia,
Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu
juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Dato ingin mengatakan bahawa
Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada
gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?
Yakinlah Dato’, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya
mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana
pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut. Inilah yang
ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat
sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan
mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji. Pihak lawan
juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka
lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya
tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru
ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang. Malang sekali apabila Dato’
pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang
perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato’ menjadi suara pihak lawan
untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang
telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.
Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan
Dato’ lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas
tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di
antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk
kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya.
Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga
kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia
untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Dato’ ketahui, wacana
baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama
terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid
al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat bersama lagi dengan
realiti baru ini.
Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya,
setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan
manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS
ternyata senada dengan mereka yang telah Berjaya di negara masing-masing. Saya
berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik PAS
di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul
sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip
konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut
dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma
bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS.
Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan
yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan
Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam
kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut
positif oleh Dato’, malah dipandang sinis.
Melihat kepada isu hudud yang Dato’ anggap telah ditinggalkan oleh PAS,
saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya
berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini,
iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS
yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk
meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang
patut dihargai. Apa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang
‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas
orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka
bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah
Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia
mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya
kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya
meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.
Akhirkata, jika Dato’ benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan
memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di
Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Dato’ lakukan berdasarkan
kekuatan yang ada pada diri Dato’. Sebagai seorang motivator yang begitu
meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai
waktunya Dato’ untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad
berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato’ miliki. Mungkin juga Dato’ boleh
menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi
dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara
sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato’ sibuk dengan tugas
exco, kini Dato’ lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Dato’ yang
ingin menjaga aqidah itu. Saya kira Dato’ juga boleh berdakwah di Hard Rock
Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti
pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Dato’ itu. Saya yakin
10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Dato’ untuk menyelamatkan
aqidah umat Islam boleh Dato’ kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama
turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal. Saya amat
meyakini, jika Dato’ berdakwah seperti itu, Dato’ akan tetap dikenang kawan
ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.
Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM
0 comments:
Post a Comment