Sewaktu di dalam tren balik menuju rumah sebentar tadi, kami terbaca
pernyataan Ustaz Abdullah Zaik, Presiden ISMA di laman facebook.
"
Perjuangan
politik Islam lebih luas dari sekadar ke Putrajaya. Apa gunanya ke
Putrajaya jika sekiranya pegangan politik umat Islam terlepas dari
genggaman dan siasah orang bukan Islam menjadi lebih dominen?.
Apa gunanya ke Putrajaya jika kita hanya berkuasa di 2,3 negeri sedangkan baki wilayah Islam jatuh ke kuasaan bukan Islam?
Perjuangan politik Islam ialah perjuangan yang dapat dapat memastikan
pegangan politik umat Islam terpelihara ditangan orang Islam. Dengan itu
akidah dapat dipertahankan, agama dapat dibangunkan, hak dan maruah
umat Islam terjaga dan wilayah kekuasaan umat Islam dapat dipertahankan."
(Ustaz Abdullah Zaik, 2012)
Hati
terasa marah dan sedih membacanya. Walaupun tidak dizahirkan melalui
pernyataan, sesiapa yang memahami tulisan beliau akan sedar bahawa
pernyataan beliau merujuk kepada Parti Islam SeMalaysia, dengan slogan
mereka Himpunan Hijau Menuju Putrajaya.
|
Ust Abdullah Zaik, Presiden ISMA |
Seakan akan
perjuangan kami selaku gerakan Islam di Malaysia yang berada di medan
siasah diperlekehkan, direndah rendahkan. Seakan akan keputusan kami
memilih bersama parti majoriti bukan Islam dibuat dengan membuta tuli,
tanpa mengambil kira kepentingan strategik orang Melayu Muslim di
Malaysia, terutamanya di bidang politik dan kuasa pemerintahan.
Seakan
akan Ustaz Abdullah, secara beradab dan "berbahasa agama", meminta
para pembaca kenyataannya untuk meneruskan menyokong penzalim-penzalim
di dalam pemerintahan Malaysia. Seakan akan Ustaz, secara halus dan
berlapis, meminta rakyat Malaysia untuk tidak menyokong perjuangan kami
bersama Parti Islam SeMalaysia.
Bukanlah bagi kami untuk
mempersoalkan niat Ustaz Abdullah Zaik menulis pernyataan tersebut,
hanya Allah yang mengetahui isi hati hambanya. Tetapi begitulah persepsi
yang kami dapati dari penulisan beliau tersebut.
Maka
hati beristighfar, memohon ampunan Allah, agar kefahaman kami terhadap
pernyataan Ustaz Abdullah Zaik adalah bukan berdasarkan emosi apatah
lagi bisikan syaitan yang ingin memecahkan.
Hati terdetik
untuk menulis respon balas. Bukan untuk menunjuk pandai, apatah lagi
untuk berkurang ajar. Cuma mahukan pencerahan terhadap isu yang beliau
bangkitkan. Moga Allah memberi petunjuk kepada kami, dan meluruskan
ijitihad kami.
Kami bersetuju dengan pernyataan pertama
Ustaz Abdullah, bahawa perjuangan politik Islam lebih luas daripada
sekadar ke Putrajaya. Bahkan, itulah apa yang kami sebagai penggerak
Parti Islam SeMalaysia pegang dan imani, bahawa perjuangan kami adalah
bukan sekadar untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya malah lebih luas dari
itu.
Perjuangan kami adalah pada membawa Islam kepada
indvidu-individu Muslim di Malaysia khususnya, dan seluruh dunia pada
umumnya. Perjuangan kami agar Islam itu tegak di dalam diri setiap
indvidu Muslim, dengan akidah yang tepat dan kukuh, dan akhlak dan
peribadi yang terserlah. Perjuangan kami juga adalah pada menegakkan
agama Allah di bumi Malaysia, dan jika diizinkan Allah agar ia juga
tegak di setiap penjuru dunia.
Kuasa di Putrajaya itu
pula, bagi kami hanyalah SALAH SATU wadah kami dalam mencapai objektif
kami. Sama ada kami berkuasa, atau dikuasai, kerja kerja kami sama ada
dari segi pendidikan, pembentukan daie, penentangan terhadap
kemungkaran, kebajikan bahkan penyampaian maklumat terus berjalan untuk
memenuhi matlamat kami, inshaAllah.
Hal ini selaras dengan Quran yang kami imani;
"Dan
hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan
(mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka
yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."
Quran: al-Imran: 104
Ustaz Abdullah Zaik kemudiannya menambah; "
Apa
gunanya ke Putrajaya jika sekiranya pegangan politik umat Islam
terlepas dari genggaman dan siasah orang bukan Islam menjadi lebih
dominen?."
Benar, apa yang diutarakan Ustaz.
Tidak ada langsung gunanya ke Putrajaya jika terjadi sedemikian. Tetapi
Ustaz Abdullah perlu membuat kenyataan yang berasaskan realiti di
Malaysia, dan bukannya berdasarkan kerisauan dan ketakutan tidak
rasional terhadap penguasaan bukan Muslim, tanpa bersandarkan realiti.
Di
Malaysia, pada pilihan raya lepas, kerusi yang ditandingi DAP hanyalah
47 daripada 222 kerusi Parlimen. DAP memenangi 28 kerusi. PKR pula
memenangi 30 kerusi Parlimen. Yang mana hanya sepuluh daripada mereka
adalah bukan Muslim. Jumlah keseluruhan Ahli Parlimen bukan Muslim di
Malaysia hanyalah 38 daripada 222.
Untuk siasah Bukan
Muslim menjadi dominan dalam pemerintahan Malaysia, ia perlu memenangi
111 kerusi di Parlimen. Secara mudahnya, 73 orang lagi ahli Parlimen
bukan Muslim perlu memenangi pilihan raya, sebelum siasah mereka menjadi
dominan.
Mungkin Ustaz Abdullah boleh menjawab, benar
mereka tidak boleh menjadi dominan secara mutlak, tetapi dengan kuasa
mereka selaku 'kingmaker' untuk pembentukan kerajaan. Maka disini kami
tegaskan, Pas adalah parti yang menjaga kepentingan Islam dan umat
Islam. Maka apa apa perkara yang meruntuhkan kepentingan Islam, akan
kami tentang, waima dari parti parti yang bekerjasama dengan kami.
Peranan
mereka selaku 'kingmaker' hanya tertakluk selagi mana kami bersetuju
untuk membentuk kerajaan campuran bersama mereka. Jika terbukti dengan
jelas mereka berusaha menjatuhkan kepentingan Melayu Muslim di Malaysia,
inshaAllah kami tidak teragak-agak untuk tidak lagi bekerjasama.
Dan
saya nyatakan juga disini, golongan bukan Muslim juga 'tidak bodoh'
untuk cuba mendominasi siasah Malaysia, kerana mereka sedar, realitinya
mereka TIDAK akan mampu membentuk kerajaan dengan bersendirian, tanpa
kerjasama kami.
Ustaz Abdullah meneruskan pernyataannya;
"Apa gunanya ke Putrajaya jika kita hanya berkuasa di 2,3 negeri sedangkan baki wilayah Islam jatuh ke kuasaan bukan Islam?"
Sedikit
tohor telahan politik Ustaz Abdullah Zaik dengan kenyataan provokatif
dan berlebih-lebihan sebegini. Di Malaysia, negeri yang demografiknya
majoriti bukan Melayu hanyalah Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Maka
secara mudahnya, boleh ditafsirkan, kerusi yang akan ditandingi calon
bukan Muslim juga akan bersifat minoriti. Sekali lagi realiti di
Malaysia tidak memungkinkan mereka menjadi dominan.
|
Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Kedah |
Ini
juga membawa maksud, daripada 14 negeri beserta Wilayah Perseketuan di
Malaysia, hanya tiga negeri yang akan ditadbir secara majoriti oleh
Bukan Melayu. Lupakah Ustaz Abdullah Zaik, bahawa ketiga tiga negeri ini
sememangnya diperintah oleh bukan Melayu, walaupun ketika Barisan
Nasional mendominasi pemerintahan negara?
Maka dengan
mengatakan hanya dua atau tiga negeri yang akan diperintah oleh Melayu
Muslim, adalah pernyataan yang tidak tepat dan berlebih-lebihan, malah
tidak sesuai dengan taraf Ustaz Abdullah selaku pemikir utama gerakan
ISMA.
Ini juga boleh membangkitkan persoalan; Adakah hanya
parti politik bukan Muslim di pihak pembangkang yang tidak boleh
diterima Ustaz Abdullah Zaik? Sewaktu Gerakan memerintah Pulau Pinang
dan Sabah diperintah bukan Muslim dari Barisan Nasional, adakah bagi
Ustaz Abdullah Zaik; ia tidak mengapa dan boleh dipertahankan?
Dan
sekali lagi kami nyatakan, mereka hanya mampu membentuk kerajaan di
setiap dengan adanya kerjasama dari pada kami; ADUN Melayu Muslim, sama
ada dari Pas atau PKR. Maka jika ada tindakan mereka yang merosakkan
kepentingan Islam dan kaum Melayu, maka dengan tidak berdolak dalik,
kami di Parti Islam SeMalaysia akan menolak untuk kekal bersama mereka
di dalam kerajaan campuran.
Jika dibangkitkan perihal
Perak, yang mana usai pilihan raya 2008, ADUN mereka menjadi majoriti di
Dewan Undangan Negeri. Ustaz Abdullah Zaik mungkin perlu diingatkan,
negeri tersebut mempunyai undang-undang tubuh yang memerlukan Menteri
Besarnya dari kaum Melayu. Undang-undang ini juga termaktub di beberapa
negeri lain termasuk Johor. Maka sekali lagi terdapat batasan realiti
untuk siasah mereka menjadi dominan.
Ustaz Abdullah Zaik meneruskan pernyataanya;
"Perjuangan
politik Islam ialah perjuangan yang dapat dapat memastikan pegangan
politik umat Islam terpelihara ditangan orang Islam. Dengan itu akidah
dapat dipertahankan, agama dapat dibangunkan, hak dan maruah umat Islam
terjaga dan wilayah kekuasaan umat Islam dapat dipertahankan."
Sekali
lagi, bacaan politik Ustaz Abdullah Zaik tersasar. Ustaz Abdullah
dengan sifir mudah menafsirkan bahawa jika pegangan politik umat Islam
terpelihara ditangan orang Islam, maka bagi Islam dan ummatnya,
segala-galanya akan terjaga dan berkembang baik.
Lupakah
Ustaz Abdullah, penderaan terbesar terhadap pejuang Ikhwanul Muslimin,
gerakan Islam Mesir yang menjadi model gerakan ISMA, adalah daripada
seorang Muslim, Gamal Abdul Nasser? Sayyid Qutb juga menulis tafsirnya
Fi Zilal al Quran dan magnum opusnya Maa'alim fil Tariq setelah didera
dan dipenjara oleh Nasser. Bahkan Zainab Al Ghazali hampir hampir
diperkosa di penjara, juga atas autoriti Nasser?
Lupa
pulakah bagaimana Husni Mubarak, seorang Muslim, dengan kuncu-kuncunya
membunuh rakyat Mesir beramai-ramai sewaktu "Battle of the Camel" pada 2
Februari 2011 di Medan Tahrir? Perlukah pula kami senaraikan kekejaman
Zine el Abidin Ben Ali di Tunisia kepada umat Islam dibawah pemerintahan
beliau, seorang Arab Muslim?
|
Battle Of The Camel di Medan Tahrir |
Persoalannya disini, orang
Islam yang bagaimana yang akan kita lantik agar akidah dapat
dipertahankan, agama Islam dibangunkan dan wilayah Islam dapat
dipertahankan?
Adakah orang Islam yang meraikan anak muda
Melayu Muslim dengan konsert K-Pop Korea penuh kemungkaran? Adakah
orang Islam yang 'diiktiraf' demokrat palsu oleh jurnalis antarabangsa?
Adakah orang Islam yang menahan puluhan warganegara Malaysia tanpa
pembuktian kesalahan mereka?
Adakah pula orang Islam yang
mengarahkan agar rakyat di bawah pemerintahan mereka ditembak gas
pemedih mata, semata-mata kerana mereka menggunakan hak mereka di dalam
Perlembagaan untuk menyatakan hasrat mereka? Ataupun orang Islam yang
akhbar kepunyaan mereka menyatakan sokongan tanpa segan silu kepada
Bashar al Assad, pembunuh umat Islam Syria?
Maka disinilah
peranan kami di Parti Islam SeMalaysia. Kami menawarkan alternatif
kepada semua rakyat Malaysia umumnya, dan khususnya kepada Melayu
Muslim. Kami menawarkan wakil wakil Melayu Muslim yang kami yakin mampu
menggalas tugas dan amanah yang digariskan oleh Ustaz Abdullah Zaik
diatas.
Wakil wakil yang ditapis dan dinilai peribadi
mereka, keamanahan mereka, kejujuran mereka. Wakil wakil yang terdidik
dibawah sistem tarbiah Islam, diyakini bukan sekadar di Malaysia, bahkan
oleh an-Nahdah di Tunisia, Ikhwan di Mesir, PKS di Indonesia, jika
ukuran manusia menjadi penilaian.
Wakil-wakil yang
sanggup bersuara jika pimpinan parti sekutu mereka menghina Islam dan
Shariah, dan tidak berdiam diri atas alasan menjaga keharmonian di dalam
gabungan mereka. Wakil-wakil yang prihatin nasib-nasib golongan
bawahan, miskin dan tertindas di Malaysia. Wakil-wakil yang mengambil
berat akan Islam dan umatnya, bukan sekadar di Malaysia malah diseluruh
wilayah Islam.
Maka kami di Parti Islam SeMalaysia,
dengan ini mengajak Ustaz Abdullah Zaik dan penggerak-penggerak ISMA
untuk bersama-sama kami, membantu perjuangan kami, memperbaiki kami,
agar cita cita Ustaz Abdullah Zaik untuk akidah Islam dipertahankan,
wilayah Umat Islam terpelihara dan maruah umat Islam terjaga dapat
dicapai InshaAllah.
Jika Ustaz Abdullah Zaik ikhlas
menginginkan Islam memerintah dan bukannya diperintah, maka sokonglah
kami dengan sokongan yang kukuh dan kritikan yang membina, dan bukan
yang menjatuhkan.
Kalaupun Ustaz Abdullah Zaik tidak
sanggup bersama kami, atas sebab-sebab perbezaan ideologi, kefahaman,
manhaj bahkan atas sebab-sebab apapun, maka kami berharap
setidak-tidaknya Ustaz Abdullah Zaik dan penggerak-penggerak ISMA tidak
pula menentang perjuangan kami, atau menjauhkan masyarakat dari seruan
kami, dan tidak juga menyokong penzalim-penzalim Muslim yang memusuhi
kami.
Sebagai kata akhir dari kami, kami memetik kata-kata sahabat kami, dengan sedikit modifikasi;
"
Perjuangan
politik Islam ialah perjuangan yang dapat memastikan pegangan politik
umat Islam terpelihara di tangan orang Islam yang menunjangkan Islam
sebagai cara hidup, bukan hanya Islam kerana keturunan dan bangsa."
Dengan
itu akidah dapat dipertahankan, agama dapat dibangunkan, hak dan maruah
umat Islam terjaga dan wilayah kekuasaan umat Islam dapat dipertahankan
inshaAllah.
Semoga Allah merahmati Ustaz sentiasa, dan memberi petunjuk yang tepat kepada kami.
Wallahua'lam
Wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.
http://www.facebook.com/notes/mohd-zainal-ameer/respon-kepada-ustaz-abdullah-zaik/10151904274155618