Saturday, July 21, 2012

Respon Terhadap Kenyataan Presiden ISMA

Sewaktu di dalam tren balik menuju rumah sebentar tadi, kami terbaca pernyataan Ustaz Abdullah Zaik, Presiden ISMA di laman facebook.

"Perjuangan politik Islam lebih luas dari sekadar ke Putrajaya. Apa gunanya ke Putrajaya jika sekiranya pegangan politik umat Islam terlepas dari genggaman dan siasah orang bukan Islam menjadi lebih dominen?.

Apa gunanya ke Putrajaya jika kita hanya berkuasa di 2,3 negeri sedangkan baki wilayah Islam jatuh ke kuasaan bukan Islam?

Perjuangan politik Islam ialah perjuangan yang dapat dapat memastikan pegangan politik umat Islam terpelihara ditangan orang Islam. Dengan itu akidah dapat dipertahankan, agama dapat dibangunkan, hak dan maruah umat Islam terjaga dan wilayah kekuasaan umat Islam dapat dipertahankan."

(Ustaz Abdullah Zaik, 2012)

Hati terasa marah dan sedih membacanya. Walaupun tidak dizahirkan melalui pernyataan, sesiapa yang memahami tulisan beliau akan sedar bahawa pernyataan beliau merujuk kepada Parti Islam SeMalaysia, dengan slogan mereka Himpunan Hijau Menuju Putrajaya.

Ust Abdullah Zaik, Presiden ISMA

 Seakan akan perjuangan kami selaku gerakan Islam di Malaysia yang berada di medan siasah diperlekehkan, direndah rendahkan. Seakan akan keputusan kami memilih bersama parti majoriti bukan Islam dibuat dengan membuta tuli, tanpa mengambil kira kepentingan strategik orang Melayu Muslim di Malaysia, terutamanya di bidang politik dan kuasa pemerintahan.

Seakan akan Ustaz Abdullah, secara beradab dan "berbahasa agama",  meminta para pembaca kenyataannya untuk meneruskan menyokong penzalim-penzalim di dalam pemerintahan Malaysia. Seakan akan Ustaz, secara halus dan berlapis, meminta rakyat Malaysia untuk tidak menyokong perjuangan kami bersama Parti Islam SeMalaysia.

Bukanlah bagi kami untuk mempersoalkan niat Ustaz Abdullah Zaik menulis pernyataan tersebut, hanya Allah yang mengetahui isi hati hambanya. Tetapi begitulah persepsi yang kami dapati dari penulisan beliau tersebut.

Maka hati beristighfar, memohon ampunan Allah, agar kefahaman kami terhadap pernyataan Ustaz Abdullah Zaik adalah bukan berdasarkan emosi apatah lagi bisikan syaitan yang ingin memecahkan.

Hati terdetik untuk menulis respon balas. Bukan untuk menunjuk pandai, apatah lagi untuk berkurang ajar. Cuma mahukan pencerahan terhadap isu yang beliau bangkitkan. Moga Allah memberi petunjuk kepada kami, dan meluruskan ijitihad kami.

Kami bersetuju dengan pernyataan pertama Ustaz Abdullah, bahawa perjuangan politik Islam lebih luas daripada sekadar ke Putrajaya. Bahkan, itulah apa yang kami  sebagai penggerak Parti Islam SeMalaysia pegang dan imani, bahawa perjuangan kami adalah bukan sekadar untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya malah lebih luas dari itu.

Perjuangan kami adalah pada membawa Islam kepada indvidu-individu Muslim di Malaysia khususnya, dan seluruh dunia pada umumnya. Perjuangan kami agar Islam itu tegak di dalam diri setiap indvidu Muslim, dengan akidah yang tepat dan kukuh, dan akhlak dan peribadi yang terserlah. Perjuangan kami juga adalah pada menegakkan agama Allah di bumi Malaysia, dan jika diizinkan Allah agar ia juga tegak di setiap penjuru dunia.

Kuasa di Putrajaya itu pula, bagi kami hanyalah SALAH SATU wadah kami dalam mencapai objektif kami. Sama ada kami berkuasa, atau dikuasai, kerja kerja kami sama ada dari segi pendidikan, pembentukan daie, penentangan terhadap kemungkaran, kebajikan bahkan penyampaian maklumat terus berjalan untuk memenuhi matlamat kami, inshaAllah.

Hal ini selaras dengan Quran yang kami imani;

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."  

Quran: al-Imran: 104

Ustaz Abdullah Zaik kemudiannya menambah; "Apa gunanya ke Putrajaya jika sekiranya pegangan politik umat Islam terlepas dari genggaman dan siasah orang bukan Islam menjadi lebih dominen?."

Benar, apa yang diutarakan Ustaz. Tidak ada langsung gunanya ke Putrajaya jika terjadi sedemikian. Tetapi Ustaz Abdullah perlu membuat kenyataan yang berasaskan realiti di Malaysia, dan bukannya berdasarkan kerisauan dan ketakutan tidak rasional terhadap penguasaan bukan Muslim, tanpa bersandarkan realiti.

Di Malaysia, pada pilihan raya lepas, kerusi yang ditandingi DAP hanyalah 47 daripada 222 kerusi Parlimen. DAP memenangi 28 kerusi. PKR pula memenangi 30 kerusi Parlimen. Yang mana hanya sepuluh daripada mereka adalah bukan Muslim. Jumlah keseluruhan Ahli Parlimen bukan Muslim di Malaysia hanyalah 38 daripada 222.

Untuk siasah Bukan Muslim menjadi dominan dalam pemerintahan Malaysia, ia perlu memenangi 111 kerusi di Parlimen. Secara mudahnya, 73 orang lagi ahli Parlimen bukan Muslim perlu memenangi pilihan raya, sebelum siasah mereka menjadi dominan.

Mungkin Ustaz Abdullah boleh menjawab, benar mereka tidak boleh menjadi dominan secara mutlak, tetapi dengan kuasa mereka selaku 'kingmaker' untuk pembentukan kerajaan. Maka disini kami tegaskan, Pas adalah parti yang menjaga kepentingan Islam dan umat Islam. Maka apa apa perkara yang meruntuhkan kepentingan Islam, akan kami tentang, waima dari parti parti yang bekerjasama dengan kami.

Peranan mereka selaku 'kingmaker' hanya tertakluk selagi mana kami bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran bersama mereka. Jika terbukti dengan jelas mereka berusaha menjatuhkan kepentingan Melayu Muslim di Malaysia, inshaAllah kami tidak teragak-agak untuk tidak lagi bekerjasama.

Dan saya nyatakan juga disini, golongan bukan Muslim juga 'tidak bodoh' untuk cuba mendominasi siasah Malaysia, kerana mereka sedar, realitinya mereka TIDAK akan mampu membentuk kerajaan dengan bersendirian, tanpa kerjasama kami.

Ustaz Abdullah meneruskan pernyataannya; "Apa gunanya ke Putrajaya jika kita hanya berkuasa di 2,3 negeri sedangkan baki wilayah Islam jatuh ke kuasaan bukan Islam?"

Sedikit tohor telahan politik Ustaz Abdullah Zaik dengan kenyataan provokatif dan berlebih-lebihan sebegini. Di Malaysia, negeri yang demografiknya majoriti bukan Melayu hanyalah Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Maka secara mudahnya, boleh ditafsirkan, kerusi yang akan ditandingi calon bukan Muslim juga akan bersifat minoriti. Sekali lagi realiti di Malaysia tidak memungkinkan mereka menjadi dominan.

Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Kedah

Ini juga membawa maksud, daripada 14 negeri beserta Wilayah Perseketuan di Malaysia, hanya tiga negeri yang akan ditadbir secara majoriti oleh Bukan Melayu. Lupakah Ustaz Abdullah Zaik, bahawa ketiga tiga negeri ini sememangnya diperintah oleh bukan Melayu, walaupun ketika Barisan Nasional mendominasi pemerintahan negara?

Maka dengan mengatakan hanya dua atau tiga negeri yang akan diperintah oleh Melayu Muslim, adalah pernyataan yang tidak tepat dan berlebih-lebihan, malah tidak sesuai dengan taraf Ustaz Abdullah selaku pemikir utama gerakan ISMA.

Ini juga boleh membangkitkan persoalan; Adakah hanya parti politik bukan Muslim di pihak pembangkang yang tidak boleh diterima Ustaz Abdullah Zaik? Sewaktu Gerakan memerintah Pulau Pinang dan Sabah diperintah bukan Muslim dari Barisan Nasional, adakah bagi Ustaz Abdullah Zaik; ia tidak mengapa dan boleh dipertahankan?

Dan sekali lagi kami nyatakan, mereka hanya mampu membentuk kerajaan di setiap dengan adanya kerjasama dari pada kami; ADUN Melayu Muslim, sama ada dari Pas atau PKR. Maka jika ada tindakan mereka yang merosakkan kepentingan Islam dan kaum Melayu, maka dengan tidak berdolak dalik, kami di Parti Islam SeMalaysia akan menolak untuk kekal bersama mereka di dalam kerajaan campuran.

Jika dibangkitkan perihal Perak, yang mana usai pilihan raya 2008, ADUN mereka menjadi majoriti di Dewan Undangan Negeri. Ustaz Abdullah Zaik mungkin perlu diingatkan, negeri tersebut mempunyai undang-undang tubuh yang memerlukan Menteri Besarnya dari kaum Melayu. Undang-undang ini juga termaktub di beberapa negeri lain termasuk Johor. Maka sekali lagi terdapat batasan realiti untuk siasah mereka menjadi dominan.

Ustaz Abdullah Zaik meneruskan pernyataanya; "Perjuangan politik Islam ialah perjuangan yang dapat dapat memastikan pegangan politik umat Islam terpelihara ditangan orang Islam. Dengan itu akidah dapat dipertahankan, agama dapat dibangunkan, hak dan maruah umat Islam terjaga dan wilayah kekuasaan umat Islam dapat dipertahankan."

Sekali lagi, bacaan politik Ustaz Abdullah Zaik tersasar. Ustaz Abdullah dengan sifir mudah menafsirkan bahawa jika pegangan politik umat Islam terpelihara ditangan orang Islam, maka bagi Islam dan ummatnya, segala-galanya akan terjaga dan berkembang baik.

Lupakah Ustaz Abdullah, penderaan terbesar terhadap pejuang Ikhwanul Muslimin, gerakan Islam Mesir yang menjadi model gerakan ISMA, adalah daripada seorang Muslim, Gamal Abdul Nasser? Sayyid Qutb juga menulis tafsirnya Fi Zilal al Quran dan magnum opusnya Maa'alim fil Tariq setelah didera dan dipenjara oleh Nasser. Bahkan Zainab Al Ghazali hampir hampir diperkosa di penjara, juga atas autoriti Nasser?

Lupa pulakah bagaimana Husni Mubarak, seorang Muslim, dengan kuncu-kuncunya membunuh rakyat Mesir beramai-ramai sewaktu "Battle of the Camel" pada 2 Februari 2011 di Medan Tahrir? Perlukah pula kami senaraikan kekejaman Zine el Abidin Ben Ali di Tunisia kepada umat Islam dibawah pemerintahan beliau, seorang Arab Muslim?

Battle Of The Camel di Medan Tahrir
 Persoalannya disini, orang Islam yang bagaimana yang akan kita lantik agar akidah dapat dipertahankan, agama Islam dibangunkan dan wilayah Islam dapat dipertahankan?

Adakah orang Islam yang meraikan anak muda Melayu Muslim dengan konsert K-Pop Korea penuh kemungkaran? Adakah orang Islam yang 'diiktiraf' demokrat palsu oleh jurnalis antarabangsa? Adakah orang Islam yang menahan puluhan warganegara Malaysia tanpa pembuktian kesalahan mereka?

Adakah pula orang Islam yang mengarahkan agar rakyat di bawah pemerintahan mereka ditembak gas pemedih mata, semata-mata kerana mereka menggunakan hak mereka di dalam Perlembagaan untuk menyatakan hasrat mereka? Ataupun orang Islam yang akhbar kepunyaan mereka menyatakan sokongan tanpa segan silu kepada Bashar al Assad, pembunuh umat Islam Syria?

Maka disinilah peranan kami di Parti Islam SeMalaysia. Kami menawarkan alternatif kepada semua rakyat Malaysia umumnya, dan khususnya kepada Melayu Muslim. Kami menawarkan wakil wakil Melayu Muslim yang kami yakin mampu menggalas tugas dan amanah yang digariskan oleh Ustaz Abdullah Zaik diatas.

Wakil wakil yang ditapis dan dinilai peribadi mereka, keamanahan mereka, kejujuran mereka. Wakil wakil yang terdidik dibawah sistem tarbiah Islam, diyakini bukan sekadar di Malaysia, bahkan oleh an-Nahdah di Tunisia, Ikhwan di Mesir, PKS di Indonesia, jika ukuran manusia menjadi penilaian.  

Wakil-wakil yang sanggup bersuara jika pimpinan parti sekutu mereka menghina Islam dan Shariah, dan tidak berdiam diri atas alasan menjaga keharmonian di dalam gabungan mereka. Wakil-wakil yang prihatin nasib-nasib golongan bawahan, miskin dan tertindas di Malaysia. Wakil-wakil yang mengambil berat akan Islam dan umatnya, bukan sekadar di Malaysia malah diseluruh wilayah Islam.

Maka kami di Parti Islam SeMalaysia, dengan ini mengajak Ustaz Abdullah Zaik dan penggerak-penggerak ISMA untuk bersama-sama kami, membantu perjuangan kami, memperbaiki kami, agar cita cita Ustaz Abdullah Zaik untuk akidah Islam dipertahankan, wilayah Umat Islam terpelihara dan maruah umat Islam terjaga dapat dicapai InshaAllah.

Jika Ustaz Abdullah Zaik ikhlas menginginkan Islam memerintah dan bukannya diperintah, maka sokonglah kami dengan sokongan yang kukuh dan kritikan yang membina, dan bukan yang menjatuhkan.

Kalaupun Ustaz Abdullah Zaik tidak sanggup bersama kami, atas sebab-sebab perbezaan ideologi, kefahaman, manhaj bahkan atas sebab-sebab apapun, maka kami berharap setidak-tidaknya Ustaz Abdullah Zaik dan penggerak-penggerak ISMA tidak pula menentang perjuangan kami, atau menjauhkan masyarakat dari seruan kami, dan tidak juga menyokong penzalim-penzalim Muslim yang memusuhi kami.

Sebagai kata akhir dari kami, kami memetik kata-kata sahabat kami, dengan sedikit modifikasi;

"Perjuangan politik Islam ialah perjuangan yang dapat memastikan pegangan politik umat Islam terpelihara di tangan orang Islam yang menunjangkan Islam sebagai cara hidup, bukan hanya Islam kerana keturunan dan bangsa."

Dengan itu akidah dapat dipertahankan, agama dapat dibangunkan, hak dan maruah umat Islam terjaga dan wilayah kekuasaan umat Islam dapat dipertahankan inshaAllah.

Semoga Allah merahmati Ustaz sentiasa, dan memberi petunjuk yang tepat kepada kami.

Wallahua'lam

Wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

http://www.facebook.com/notes/mohd-zainal-ameer/respon-kepada-ustaz-abdullah-zaik/10151904274155618

1 comments:

Salam


Apakah Anda mencari pinjaman?

Nama saya Femi Otedola, saya seorang multi miliarder dan saya telah berada di industri minyak dan gas selama 28 tahun terakhir. Sekarang saya ingin memberikan pinjaman kepada orang-orang yang menghadapi masalah keuangan mencari solusi dari situasi keuangan mereka, Jadi saya harus membentuk tim profesional untuk mengelola perusahaan ini. Saya tahu apa artinya mencari dana untuk mendirikan bisnis Anda dan ketika Anda mengunjungi Bank mereka selalu meminta begitu banyak dokumen dan jaminan, Di sini kami akan meminjamkan Anda dengan suku bunga rendah, dan tanpa jaminan. Anda harus tahu bahwa kami hanya di sini untuk meminjamkan mereka yang sangat serius dan bersedia membayar kembali pinjaman.

Kami menawarkan yang berikut:

~~~~ Pinjaman Kerjasama √√√√√

~~~~~ Pinjaman Bisnis Jangka Panjang (maks 40 tahun) √√√√√

~~~~~ Pinjaman Bisnis√√√√

~~~~~~ Pinjaman Pribadi√√√

Catatan: hanya orang-orang serius yang boleh mengajukan permohonan. Jika Anda harus mengajukan pinjaman dari kami, Anda harus memahami bahwa kami di sini untuk meminjamkan Anda dan Anda harus jujur dan dapat dipercaya. Hubungi kami hari ini dan dapatkan wajah baru kebebasan finansial.

Hubungi Kami melalui alamat Email berikut √√√√√√√√√√√√√√√√√√√√√√√√√
Femiotedolaloanfirm@gmail.com
Femiotedolaloanfirm1@outlook.com  

Post a Comment

TV Media Mesir