ISMA TIKAM UMNO DARI BELAKANG

Pelik sungguh melihat kenyataan rasmi ISMA Mesir yang tiba-tiba melahirkan rasa kesal dengan kejadian di program Hi-Tea yang diadakan di ARMA.Presiden ISMA Malaysia pernah membuat kenyataan putar belit alam terhadap BERSIH 3.0, kini tiba-tiba ISMA Mesir pula membuat kenyataan putar belit.

SUMBANGAN ANDA DIPERLUKAN

Saluran sumbangan untuk bantu para sahabat Terengganu di Mesir yang dinafikan hak mereka oleh regim UMNO Terengganu daripada menerima kewangan disebabkan penyertaan BERSIH 2.0 di Mesir boleh disalurkan kepada: Mohd Zahani Bin Abdul Ghani HSBC 032 084857 108

SUARA kesal mahasiswa diperalat dalam program Hi Tea -Presiden

KAHERAH-29 April 2012: Pihak Gerakan Suara Rakyat (SUARA) menyatakan kekesalan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menganjurkan program Hi Tea Keamanan kerana menipu dan memperalatkan mahasiswa.

Mahasiswa diperalat:SUARA mengalu-alukan tindakan PMRAM,BKPJM.-Naib Presiden.

KAHERAH,2 Mei 2012: Gerakan Suara Rakyat (SUARA) sehingga hari ini masih mengecam tindakan pihak penganjur Hi Tea baru-baru ini yang memperalatkan mahasiswa untuk tujuan politik.

BERSIH 3.0 DI MESIR..SYABAS PELAJAR MESIR, PENING KEDUTAAN..

Saturday, July 21, 2012

Respon Terhadap Kenyataan Presiden ISMA

Sewaktu di dalam tren balik menuju rumah sebentar tadi, kami terbaca pernyataan Ustaz Abdullah Zaik, Presiden ISMA di laman facebook.

"Perjuangan politik Islam lebih luas dari sekadar ke Putrajaya. Apa gunanya ke Putrajaya jika sekiranya pegangan politik umat Islam terlepas dari genggaman dan siasah orang bukan Islam menjadi lebih dominen?.

Apa gunanya ke Putrajaya jika kita hanya berkuasa di 2,3 negeri sedangkan baki wilayah Islam jatuh ke kuasaan bukan Islam?

Perjuangan politik Islam ialah perjuangan yang dapat dapat memastikan pegangan politik umat Islam terpelihara ditangan orang Islam. Dengan itu akidah dapat dipertahankan, agama dapat dibangunkan, hak dan maruah umat Islam terjaga dan wilayah kekuasaan umat Islam dapat dipertahankan."

(Ustaz Abdullah Zaik, 2012)

Hati terasa marah dan sedih membacanya. Walaupun tidak dizahirkan melalui pernyataan, sesiapa yang memahami tulisan beliau akan sedar bahawa pernyataan beliau merujuk kepada Parti Islam SeMalaysia, dengan slogan mereka Himpunan Hijau Menuju Putrajaya.

Ust Abdullah Zaik, Presiden ISMA

 Seakan akan perjuangan kami selaku gerakan Islam di Malaysia yang berada di medan siasah diperlekehkan, direndah rendahkan. Seakan akan keputusan kami memilih bersama parti majoriti bukan Islam dibuat dengan membuta tuli, tanpa mengambil kira kepentingan strategik orang Melayu Muslim di Malaysia, terutamanya di bidang politik dan kuasa pemerintahan.

Seakan akan Ustaz Abdullah, secara beradab dan "berbahasa agama",  meminta para pembaca kenyataannya untuk meneruskan menyokong penzalim-penzalim di dalam pemerintahan Malaysia. Seakan akan Ustaz, secara halus dan berlapis, meminta rakyat Malaysia untuk tidak menyokong perjuangan kami bersama Parti Islam SeMalaysia.

Bukanlah bagi kami untuk mempersoalkan niat Ustaz Abdullah Zaik menulis pernyataan tersebut, hanya Allah yang mengetahui isi hati hambanya. Tetapi begitulah persepsi yang kami dapati dari penulisan beliau tersebut.

Maka hati beristighfar, memohon ampunan Allah, agar kefahaman kami terhadap pernyataan Ustaz Abdullah Zaik adalah bukan berdasarkan emosi apatah lagi bisikan syaitan yang ingin memecahkan.

Hati terdetik untuk menulis respon balas. Bukan untuk menunjuk pandai, apatah lagi untuk berkurang ajar. Cuma mahukan pencerahan terhadap isu yang beliau bangkitkan. Moga Allah memberi petunjuk kepada kami, dan meluruskan ijitihad kami.

Kami bersetuju dengan pernyataan pertama Ustaz Abdullah, bahawa perjuangan politik Islam lebih luas daripada sekadar ke Putrajaya. Bahkan, itulah apa yang kami  sebagai penggerak Parti Islam SeMalaysia pegang dan imani, bahawa perjuangan kami adalah bukan sekadar untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya malah lebih luas dari itu.

Perjuangan kami adalah pada membawa Islam kepada indvidu-individu Muslim di Malaysia khususnya, dan seluruh dunia pada umumnya. Perjuangan kami agar Islam itu tegak di dalam diri setiap indvidu Muslim, dengan akidah yang tepat dan kukuh, dan akhlak dan peribadi yang terserlah. Perjuangan kami juga adalah pada menegakkan agama Allah di bumi Malaysia, dan jika diizinkan Allah agar ia juga tegak di setiap penjuru dunia.

Kuasa di Putrajaya itu pula, bagi kami hanyalah SALAH SATU wadah kami dalam mencapai objektif kami. Sama ada kami berkuasa, atau dikuasai, kerja kerja kami sama ada dari segi pendidikan, pembentukan daie, penentangan terhadap kemungkaran, kebajikan bahkan penyampaian maklumat terus berjalan untuk memenuhi matlamat kami, inshaAllah.

Hal ini selaras dengan Quran yang kami imani;

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."  

Quran: al-Imran: 104

Ustaz Abdullah Zaik kemudiannya menambah; "Apa gunanya ke Putrajaya jika sekiranya pegangan politik umat Islam terlepas dari genggaman dan siasah orang bukan Islam menjadi lebih dominen?."

Benar, apa yang diutarakan Ustaz. Tidak ada langsung gunanya ke Putrajaya jika terjadi sedemikian. Tetapi Ustaz Abdullah perlu membuat kenyataan yang berasaskan realiti di Malaysia, dan bukannya berdasarkan kerisauan dan ketakutan tidak rasional terhadap penguasaan bukan Muslim, tanpa bersandarkan realiti.

Di Malaysia, pada pilihan raya lepas, kerusi yang ditandingi DAP hanyalah 47 daripada 222 kerusi Parlimen. DAP memenangi 28 kerusi. PKR pula memenangi 30 kerusi Parlimen. Yang mana hanya sepuluh daripada mereka adalah bukan Muslim. Jumlah keseluruhan Ahli Parlimen bukan Muslim di Malaysia hanyalah 38 daripada 222.

Untuk siasah Bukan Muslim menjadi dominan dalam pemerintahan Malaysia, ia perlu memenangi 111 kerusi di Parlimen. Secara mudahnya, 73 orang lagi ahli Parlimen bukan Muslim perlu memenangi pilihan raya, sebelum siasah mereka menjadi dominan.

Mungkin Ustaz Abdullah boleh menjawab, benar mereka tidak boleh menjadi dominan secara mutlak, tetapi dengan kuasa mereka selaku 'kingmaker' untuk pembentukan kerajaan. Maka disini kami tegaskan, Pas adalah parti yang menjaga kepentingan Islam dan umat Islam. Maka apa apa perkara yang meruntuhkan kepentingan Islam, akan kami tentang, waima dari parti parti yang bekerjasama dengan kami.

Peranan mereka selaku 'kingmaker' hanya tertakluk selagi mana kami bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran bersama mereka. Jika terbukti dengan jelas mereka berusaha menjatuhkan kepentingan Melayu Muslim di Malaysia, inshaAllah kami tidak teragak-agak untuk tidak lagi bekerjasama.

Dan saya nyatakan juga disini, golongan bukan Muslim juga 'tidak bodoh' untuk cuba mendominasi siasah Malaysia, kerana mereka sedar, realitinya mereka TIDAK akan mampu membentuk kerajaan dengan bersendirian, tanpa kerjasama kami.

Ustaz Abdullah meneruskan pernyataannya; "Apa gunanya ke Putrajaya jika kita hanya berkuasa di 2,3 negeri sedangkan baki wilayah Islam jatuh ke kuasaan bukan Islam?"

Sedikit tohor telahan politik Ustaz Abdullah Zaik dengan kenyataan provokatif dan berlebih-lebihan sebegini. Di Malaysia, negeri yang demografiknya majoriti bukan Melayu hanyalah Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Maka secara mudahnya, boleh ditafsirkan, kerusi yang akan ditandingi calon bukan Muslim juga akan bersifat minoriti. Sekali lagi realiti di Malaysia tidak memungkinkan mereka menjadi dominan.

Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Kedah

Ini juga membawa maksud, daripada 14 negeri beserta Wilayah Perseketuan di Malaysia, hanya tiga negeri yang akan ditadbir secara majoriti oleh Bukan Melayu. Lupakah Ustaz Abdullah Zaik, bahawa ketiga tiga negeri ini sememangnya diperintah oleh bukan Melayu, walaupun ketika Barisan Nasional mendominasi pemerintahan negara?

Maka dengan mengatakan hanya dua atau tiga negeri yang akan diperintah oleh Melayu Muslim, adalah pernyataan yang tidak tepat dan berlebih-lebihan, malah tidak sesuai dengan taraf Ustaz Abdullah selaku pemikir utama gerakan ISMA.

Ini juga boleh membangkitkan persoalan; Adakah hanya parti politik bukan Muslim di pihak pembangkang yang tidak boleh diterima Ustaz Abdullah Zaik? Sewaktu Gerakan memerintah Pulau Pinang dan Sabah diperintah bukan Muslim dari Barisan Nasional, adakah bagi Ustaz Abdullah Zaik; ia tidak mengapa dan boleh dipertahankan?

Dan sekali lagi kami nyatakan, mereka hanya mampu membentuk kerajaan di setiap dengan adanya kerjasama dari pada kami; ADUN Melayu Muslim, sama ada dari Pas atau PKR. Maka jika ada tindakan mereka yang merosakkan kepentingan Islam dan kaum Melayu, maka dengan tidak berdolak dalik, kami di Parti Islam SeMalaysia akan menolak untuk kekal bersama mereka di dalam kerajaan campuran.

Jika dibangkitkan perihal Perak, yang mana usai pilihan raya 2008, ADUN mereka menjadi majoriti di Dewan Undangan Negeri. Ustaz Abdullah Zaik mungkin perlu diingatkan, negeri tersebut mempunyai undang-undang tubuh yang memerlukan Menteri Besarnya dari kaum Melayu. Undang-undang ini juga termaktub di beberapa negeri lain termasuk Johor. Maka sekali lagi terdapat batasan realiti untuk siasah mereka menjadi dominan.

Ustaz Abdullah Zaik meneruskan pernyataanya; "Perjuangan politik Islam ialah perjuangan yang dapat dapat memastikan pegangan politik umat Islam terpelihara ditangan orang Islam. Dengan itu akidah dapat dipertahankan, agama dapat dibangunkan, hak dan maruah umat Islam terjaga dan wilayah kekuasaan umat Islam dapat dipertahankan."

Sekali lagi, bacaan politik Ustaz Abdullah Zaik tersasar. Ustaz Abdullah dengan sifir mudah menafsirkan bahawa jika pegangan politik umat Islam terpelihara ditangan orang Islam, maka bagi Islam dan ummatnya, segala-galanya akan terjaga dan berkembang baik.

Lupakah Ustaz Abdullah, penderaan terbesar terhadap pejuang Ikhwanul Muslimin, gerakan Islam Mesir yang menjadi model gerakan ISMA, adalah daripada seorang Muslim, Gamal Abdul Nasser? Sayyid Qutb juga menulis tafsirnya Fi Zilal al Quran dan magnum opusnya Maa'alim fil Tariq setelah didera dan dipenjara oleh Nasser. Bahkan Zainab Al Ghazali hampir hampir diperkosa di penjara, juga atas autoriti Nasser?

Lupa pulakah bagaimana Husni Mubarak, seorang Muslim, dengan kuncu-kuncunya membunuh rakyat Mesir beramai-ramai sewaktu "Battle of the Camel" pada 2 Februari 2011 di Medan Tahrir? Perlukah pula kami senaraikan kekejaman Zine el Abidin Ben Ali di Tunisia kepada umat Islam dibawah pemerintahan beliau, seorang Arab Muslim?

Battle Of The Camel di Medan Tahrir
 Persoalannya disini, orang Islam yang bagaimana yang akan kita lantik agar akidah dapat dipertahankan, agama Islam dibangunkan dan wilayah Islam dapat dipertahankan?

Adakah orang Islam yang meraikan anak muda Melayu Muslim dengan konsert K-Pop Korea penuh kemungkaran? Adakah orang Islam yang 'diiktiraf' demokrat palsu oleh jurnalis antarabangsa? Adakah orang Islam yang menahan puluhan warganegara Malaysia tanpa pembuktian kesalahan mereka?

Adakah pula orang Islam yang mengarahkan agar rakyat di bawah pemerintahan mereka ditembak gas pemedih mata, semata-mata kerana mereka menggunakan hak mereka di dalam Perlembagaan untuk menyatakan hasrat mereka? Ataupun orang Islam yang akhbar kepunyaan mereka menyatakan sokongan tanpa segan silu kepada Bashar al Assad, pembunuh umat Islam Syria?

Maka disinilah peranan kami di Parti Islam SeMalaysia. Kami menawarkan alternatif kepada semua rakyat Malaysia umumnya, dan khususnya kepada Melayu Muslim. Kami menawarkan wakil wakil Melayu Muslim yang kami yakin mampu menggalas tugas dan amanah yang digariskan oleh Ustaz Abdullah Zaik diatas.

Wakil wakil yang ditapis dan dinilai peribadi mereka, keamanahan mereka, kejujuran mereka. Wakil wakil yang terdidik dibawah sistem tarbiah Islam, diyakini bukan sekadar di Malaysia, bahkan oleh an-Nahdah di Tunisia, Ikhwan di Mesir, PKS di Indonesia, jika ukuran manusia menjadi penilaian.  

Wakil-wakil yang sanggup bersuara jika pimpinan parti sekutu mereka menghina Islam dan Shariah, dan tidak berdiam diri atas alasan menjaga keharmonian di dalam gabungan mereka. Wakil-wakil yang prihatin nasib-nasib golongan bawahan, miskin dan tertindas di Malaysia. Wakil-wakil yang mengambil berat akan Islam dan umatnya, bukan sekadar di Malaysia malah diseluruh wilayah Islam.

Maka kami di Parti Islam SeMalaysia, dengan ini mengajak Ustaz Abdullah Zaik dan penggerak-penggerak ISMA untuk bersama-sama kami, membantu perjuangan kami, memperbaiki kami, agar cita cita Ustaz Abdullah Zaik untuk akidah Islam dipertahankan, wilayah Umat Islam terpelihara dan maruah umat Islam terjaga dapat dicapai InshaAllah.

Jika Ustaz Abdullah Zaik ikhlas menginginkan Islam memerintah dan bukannya diperintah, maka sokonglah kami dengan sokongan yang kukuh dan kritikan yang membina, dan bukan yang menjatuhkan.

Kalaupun Ustaz Abdullah Zaik tidak sanggup bersama kami, atas sebab-sebab perbezaan ideologi, kefahaman, manhaj bahkan atas sebab-sebab apapun, maka kami berharap setidak-tidaknya Ustaz Abdullah Zaik dan penggerak-penggerak ISMA tidak pula menentang perjuangan kami, atau menjauhkan masyarakat dari seruan kami, dan tidak juga menyokong penzalim-penzalim Muslim yang memusuhi kami.

Sebagai kata akhir dari kami, kami memetik kata-kata sahabat kami, dengan sedikit modifikasi;

"Perjuangan politik Islam ialah perjuangan yang dapat memastikan pegangan politik umat Islam terpelihara di tangan orang Islam yang menunjangkan Islam sebagai cara hidup, bukan hanya Islam kerana keturunan dan bangsa."

Dengan itu akidah dapat dipertahankan, agama dapat dibangunkan, hak dan maruah umat Islam terjaga dan wilayah kekuasaan umat Islam dapat dipertahankan inshaAllah.

Semoga Allah merahmati Ustaz sentiasa, dan memberi petunjuk yang tepat kepada kami.

Wallahua'lam

Wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

http://www.facebook.com/notes/mohd-zainal-ameer/respon-kepada-ustaz-abdullah-zaik/10151904274155618

Friday, July 20, 2012

KRISIS BKAN JOHOR

Krisis BKAN Johor (Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir atau BKPJM)



Krisis di BKAN Johor bukanlah perkara baru. Krisis ini berlaku dari dahulu lagi sejak kedatangan pegawai-pegawai yang tugasnya bukanlah membantu pelajar sebaliknya mempunyai kepentingan dan agenda sendiri yakni untuk memecahkan kesatuan pelajar dan berpolitik.

Kita kesal kerana pegawai yg sepatutnya memudahkan dan membantu pelajar dalam urusan harian mereka bukan sekadar culas dalam tanggungjawab malah mementingkan diri sendiri dan 'memilih bulu'. Pelajar yang kurang rapat dengan mereka diabaikan, dalam masa yang sama pelajar yg pro UMNO atau benci akan kesatuan dan persatuan yg sedia ada dipelihara dan dijaga bagai anak emas.

Salah seorang dari mahasiswa BKPJM, saudara Muhammad Yassarudin bin Samsul sebelum ini telah dicampak borang permohonan masuk ke asrama Johor. Sedikit penerangan tentang isu ini berdasarkan maklumat yg kami terima:

1) 8 Jun 2012, Borang Pemohonan untuk tinggal di Rumah Johor dikeluarkan oleh Pejabat HEP Johor.

2) Surat bertarikh 31 Jun, sedangkan bulan Jun ada 30 hari sahaja.


Surat memaklumkan tentang perihal borang rumah Johor. Kelihatan tarikh tutup 31 Jun.



3) saudara Yassarudin menghubungi pegawai pada 30 Jun, bertanyakan sama ada beliau masih layak untuk mengisi borang atau tidak. Pegawai yg dihubungi mengatakan ya, beliau masih boleh mengisi borang itu.

4) saudara Yassarudin mengambil borang itu, lalu bergegas menghantarnya pada 1 Julai. Ketika sampai pada tangan Pengurus Rumah Johor yakni Encik Hj Maulan, beliau melepaskan borang itu ke lantai dan tidak mahu menerima borang tersebut. Alasan yg diberikan kerana borang itu lambat dihantar. Persoalannya kenapa kalau dah tidak boleh dihantar borang itu, kenapa beliau berikan borang tersebut kepada saudara Yassar untuk diisi? Tindakan ini sangat pelik dan tidak masuk akal seakan-akan hendak mempermainkan pelajar tersebut.



5) saudara Yassarudin bukanlah dari golongan yg berada, jadi beliau mohon kepada Hj Maulan agar beliau dapat juga masuk ke asrama Johor. Hj Maulan membalas "Bumi Allah kan luas, duduklah kat mana-mana pun"


Rumah Johor, diberikan untuk kemudahan pelajar tetapi disusahkan oleh pegawai-pegawai yang tidak bertanggun jawab

kita dapat lihat sikap Hj Maulan yg tidak professional dalam menjalankan tugas beliau. Kerajaan membayar gaji beliau menggunakan duit rakyat agar beliau berkhidmat kepada rakyat. Tetapi beliau hanya tahu memenuhkan perut beliau sahaja. Inilah masalah pegawai kerajaan yg hanya ada perut, tetapi tiada hati.

Keadaan semakin buruk dan kritikal berlaku terhadap BKPJM apabila Hj Maulan mengeluarkan surat dengan arahan agar BKPJM mengosongkan pejabatnya dengan alasan konon-kononnya staf HEP semakin bertambah.Situasi ini seakan-akan ulangan sejarah hitam PMRAM yang dihalau keluar dari ARMA suatu ketika dahulu.




Haji Maulan Asmoni, Pengurus Rumah Johor

Justeru, kami mewakili BKPJM yg sekian lama tertindas dek angkara pegawai yg tidak mempunyai hati tetapi hanya mempunyai perut, memohon agar sahabat-sahabat berdoa agar kezaliman ini dibalas oleh Allah dengan selayaknya. Kami juga memohon kepada para sahabat agar menyebar luaskan lagi berita ini supaya BKPJM tidak dilupakan dan terus dibela. Semoga Allah menjaga BKPJM dan Allah adalah sebaik2 penjaga.

Thursday, July 19, 2012

KRONOLOGI TRAGEDI ALLAHYARHAM ABDUL KHAFIZ BIN MOHAMED NOROK

KRONOLOGI TRAGEDI ALLAHYARHAM ABDUL KHAFIZ BIN MOHAMED NOROK

Mangsa menghadiri majlis Re-union AQRAB Shoubra 2012 yang diadakan di rumah Saudara Shahrul Ramadhan, ‘Abud pada tarikh 10 Julai 2012. Lebih kurang 25 orang mahasiswa terlibat dalam majlis tersebut. (AQRAB merupakan singkatan nama pelajar lepasan Diploma Darul Quran JAKIM tahun 2006-2009).

10 Julai 2012
08.00-10.00 malam : Kehadiran sahabat-sahabat AQRAB Shoubra ke majlis
10.00 malam : Majlis bermula
11.00 malam : Jamuan berakhir. Hampir keseluruhan tetamu yang hadir telah beransur pulang ke rumah masing-masing.

11 Julai 2012
12.30 malam : Allahyarham Abdul Khafiz dan Saudara Muhaimin Yahya keluar dari rumah tersebut dan menuju ke perhentian pengangkutan awam dan bercadang untuk pulang. Setelah beberapa ketika, mereka mendapati terdapat sebuah tremco (micro bus) untuk dinaiki. Terdapat beberapa penumpang yang di dalam tremco tersebut antaranya dua orang wanita dewasa beserta seorang bayi dan tiga lelaki (termasuk pemandu) warga arab. Ketika tiba di Muzallat, dua orang wanita beserta bayi tadi turun dan meninggalkan mereka di dalam tremco tersebut.

01.10 pagi : Saudara Muhaimin menghubungi Saudara Hafizi Ramli dan Saudara Safuan Zainudin mengatakan bahawa mereka dalam cubaan dirompak.

01.25 pagi : Saudara Hafizi Ramli memaklumkan kejadian tersebut kepada Saudara Mohammad Naim bin Abd Rahim, Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra berkenaan perkara tersebut.

01.30 pagi : Pengerusi DPM menghubungi Saudara Mokhzani (penghuni di ‘Abud) untuk meninjau keadaan sekitar ‘Abud sekiranya mereka masih berlegar di kawasan tersebut.

Kejadian di dalam tremco

Pemandu tremco menukar laluan asal ke laluan yang lain. Pada masa yang sama, seorang lelaki arab yang berada di sebelah pemandu mengacu pisau ke arah Saudara Muhaimin. Manakala seorang lagi yang berada di tempat duduk belakang berpindah kedudukan ke bahagian tempat duduk sebelah Allahyarham. Setelah berlaku detik-detik cemas dalam tremco, lelaki yang berada disebelah Allahyarham berpindah ke tempat asal di bahagian belakang.

Dalam keadaan yang panik dan ingin menyelamatkan diri, Allahyarham terus membuka pintu dan terjun dalam keadaan tremco yang masih bergerak laju. Apabila melihat situasi tersebut, tremco tersebut lantas memperlahankan kelajuan kenderaan itu. Melihat keadaan itu, Saudara Muhaimin mengambil peluang untuk turut menyelamatkan diri dengan terjun dari tremco.

Kemudian, Saudara Muhaimin bergegas mendapatkan sahabatnya yang pada ketika itu dalam keadaan yang tidak sedarkan diri dengan kepala yang berlumuran darah. Saudara Muhaimin cuba meminta bantuan dan berkeebetulan pada ketika itu, sebuah kereta peronda polis melalui jalan itu dan berhenti mendapatkan mereka. Kemudian, ambulans dihubungi dengan bantuan polis tersebut.

01.45 pagi : Saudara Muhaimin, Allahyarham dan beberapa sahabat yang lain berada di Hospital Maahad Nasir, Khalafawi.
02.00 pagi : Pengerusi dan Ketua Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (UKKS) DPM Shoubra tiba di hospital.

Situasi dalam Hospital Maahad Nasir (02.00 - 04.15 pagi)

Setelah dilakukan X-ray badan dan kepala, doktor menjahit luka Allahyarham di kepala. Doktor mengesahkan bahawa keadaan Allahyarham parah dan kritikal dan terpaksa dipindahkan ke hospital yang lain kerana kekurangan peralatan. Dicadangkan agar Allahyarham dipindahkan ke Hospital Qasr el-Aini, Sayyeda Zainab. Tetapi malangnya, setelah dihubungi, mereka mengatakan bahawa wad kecemasan penuh pada ketika itu. Kemudian, doktor mencadangkan agar Allahyarham dipindahkan ke Hospital Amal, Masakin ‘Ain Syams.

04.15 pagi : Allahyarham ditemani beberapa orang rakan menuju ke Hospital Amal, Masakin Ain Syam dengan menaiki ambulans.

04.45 pagi : Tiba di hospital dan terus ke wad kecemasan. Bayaran pendahuluan sebanyak LE 3,000.00.

07.30 pagi : YDP Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) dan Setiausaha Agung BKPJM tiba di hospital dan dibenarkan melihat Allahyarham yang ketika itu sedang koma.

09.00 pagi : Naib Presiden III (Lajnah Kebajikan & Kemanusiaan) PMRAM, Saudara Ahmad Huzaifah Fauzi tiba di hospital.

10.00 pagi : Pegawai EME, En. Aswandi Bin Laman, Pengurus Rumah Johor Mesir, Tn Hj. Mohd Maulan Bin Asmoni tiba dan menziarahi mangsa.

04.00 - 05.00 petang : Doktor melakukan pemeriksaan dalam waktu lawatan.

05.00 petang : Pelawat dibenarkan masuk ke wad dan didapati Allahyarham diberikan alat bantuan pernafasan.

Selepas maghrib : Para pelawat tidak dibenarkan berada di dalam hospital dan ruang menunggu dengan arahan pihak hospital.

12 Julai 2012
02.00 pagi : Pihak hospital mengesahkan bahawa Allahyarham telah kembali ke rahmatullah.

06.00 pagi : Pihak hospital menghubungi Saudara Muaz Ab Halim tetapi panggilan tidak dijawab.

08.00 pagi : Sekali lagi Saudara Muaz Abdul Halim dan Saudara Azim Azni dihubungi untuk memaklumkan berkenaan perkara tersebut.

11.00 pagi : Para pelawat memenuhi ruang hospital.

11.00 - 03.30 petang : Menguruskan urusan jenazah (tasrih, mandi, kafan dll)

03.30 petang : Bergerak menuju ke Dataran Hayyu ‘Asyir untuk Solat Jenazah

04.15 petang : Tiba di Dataran Hayyu ‘Asyir dan Solat Jenazah. Solat Jenazah diimamkan oleh Syeikh Muhammad Abdun Nabi (Pensyarah Maahad Qiraat Al-Azhar).

04.30 petang : Bergerak ke tanah perkuburan Malaysia di Kaherah dan menyelesaikan proses pengkebumian jenazah.

Sumber :
1) PMRAM Cawangan Shoubra (No. Tel Pengerusi : +201143045562)
2) Abdul Muhaimin B. Yahya

Justeru, kami sekali lagi di peringkat Shoubra & Johor melahirkan rasa marah dan kecewa dengan tindakan beberapa blogger dan seorang Pegawai Rumah Negeri yang telah menfitnah arwah tanpa bukti dan analisis yang kukuh tentang berita kematian arwah. Pihak kami juga menggesa pihak terbabit memohon maaf secara terbuka kepada keluarga Allahyarham diatas fitnah yang disebarkan

Ingatlah bahawa setiap tindakan yang kita lakukan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Dosa dengan Allah kita boleh minta ampun tetapi dosa fitnah terhadap manusia lain belum tentu terangkat melainkan dia sendiri yang memaafkan.


 

FITNAH BLOGGER-BLOGGER UMNO

Program munajat perdana SUARA


Jarang sekali terasa nak baca, cakna apatah lagi komen apa yg terdapat di blog orang-orang pro UMNO ini. Tetapi, setelah mana diceritakan oleh sahabat-sahabat, ternyata kali ini mereka sangat kurang ajar dan terlalu jahat. Jadi, terasa ingin  menjawab komentar dan tohmahan mereka ini.

1) rombongan TGHA datang ke Mesir untuk berjumpa dengan pelajar.
Kenyataan ini tidaklah begitu benar. boleh dikatakan separuh benar. Tujuan utama rombongan TGHA datang ke Mesir adalah untuk bertemu dengan pimpinan Ikhwanul Muslimin. Adapun bertemu dengan pelajar itu bukan yg utama dan program bersama TGHA itu hanyalah inisiatif SUARA memandangkan kehadiran TGHA di bumi Qinanah ini. Amat rugilah sekiranya SUARA tidak menjemput TGHA untuk bersama-sama memberikan kalam taujihat kepada penuntut-penuntut di Mesir agar terus berusaha mempelajari ilmu demi masa depan Islam di Malaysia kelak.

Rombongan TGHA bersama Pimpinan Ikhwanul Muslimin


2) TGHA mengutip derma
Derma yg dianjurkan bukanlah atas permintaan TGHA. Sebaliknya itu hanya permintaan dan inisiatif dari pihak SUARA untuk disumbangkan kepada PAS. Tidak ada seorang pun pimpinan yg hadir meminta derma seperti yg digembar gemburkan oleh blogger-blogger pro UMNO.

Selain itu, duit derma juga digunakan oleh pihak SUARA untuk membiayai program itu memandangkan SUARA tidak mendapat tajaan mana-mana pihak dan hanya bergerak sendiri.

3) Unit Amal PAS dikalangan pelajar meninggal dunia
Perkara ini telah dijelaskan oleh pihak mahasiswa Shoubra sendiri dan unit Amal PAS Mesir tidak wujud dan pernah wujud. Yang ada pada malam itu hanya petugas-petugas SUARA sahaja.

pembohongan dan fitnah terus menjadi amalan UMNO. Mereka tidak takut, bahkan mungkin berasa diri mereka berkuasa, sedangkan Allah lebih berkuasa. Kita tunggu balasan dari Allah atas kerja yg mereka lakukan. Janji manusia boleh jadi ditepati, boleh jadi tidak. Tetapi janji Allah pasti akan tiba


Friday, May 25, 2012

ISMA DALAM KESESATAN UMNO


3 KECELARUAN UTAMA YANG DIHADAPI (ISMA) IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA

BY :
Mohd Azrul Azuan

Saya rasa tajuk artikel ini tidak melampau kerana pemimpin ISMA pernah menulis artikel terbuka kepada umum berkenaan apa yang dikatakan sebagai krisis indentiti PAS. Maka, jika saya yang tak ada nama ini menulis artikel menggunakan tajuk ini, ia tidak sebesar apa yang ISMA pernah lakukan pada PAS. Artikel ini agak panjang, namun saya tidak berhasrat untuk membahagikannya menjadi artikel bersiri kerana isu ini perlu dijelaskan secara terus agar dapat memberikan kefahaman yang menyeluruh. Mohon maaf kepada yang kurang berminat dengan penulisan yang panjang lebar.

Berkenaan isu kerjasama dan persepakatan antara PAS dan UMNO, saya tidak menafikan ia merupakan idea yang baik. Namun, saranan ini perlulah dijelaskan dengan lebih detail terutama berkaitan bentuk kerjasama dan syarat yang Islam tetapkan dalam kerjasama itu. Melontarkan idea kerjasama ini kemudian mencampuradukkan penjelasannya hanya akan menggambarkan pendirian yang tidak tetap. Sekejap kata PAS tidak perlu keluar PR tetapi mesti jadi dominan dalam PR, sekejap kata PAS wajib tinggalkan PR. Bukankah ia mengelirukan dan menggambarkan pendirian yang tidak tetap?

Di dalam dunia demokrasi hari ini, kerjasama antara PAS dan UMNO boleh berlaku di dalam dua keadaan. Pertama, kerjasama isu dan kepentingan bersama. Kedua, kerjasama politik. Saya tidak pasti kerjasama apa yang dimaksudkan oleh ISMA. Tetapi ada dua pendapat yang saling bercanggah.

Pertama pendapat yang mengatakan persepakatan Melayu tidak mewajibkan pergabungan parti, tetapi cukup untuk bersepakat di dalam isu yang melibatkan kepentingan umat Islam dan parti Melayu baik di dalam BN dan PR, mesti menjadi dominan. Pendapat ini dikarang oleh aktivis ISMA, Zaizul Azizi Zaman di dalam web ISMA bertarikh 14 Mac 2012. Pendapat kedua adalah pendapat 'berteraskan' Usul Fiqh yang dikarang oleh Ust Mohd Hazizi Ab Rahman di dalam blog beliau bertarikh 29 April 2012 yang menyebut wajib PAS bergabung dengan UMNO dan wajib juga meninggalkan DAP.

Seruan Kerjasama Berteraskan Isu, Tetapi Kerjasama Politik PAS-DAP Yang Diserang

Saya melihat ISMA selalu menyatakan bahawa seruan ISMA adalah untuk perpaduan Melayu Islam. Dengan kerjasama yang melibatkan kepentingan umat Islam, PAS dan UMNO akan mengukuhkan kedudukan umat Islam di Malaysia. Saya akuinya. Cuma yang saya ingin bertanya, jika seruan kerjasama isu menjadi fokus, kenapa hubungan politik PAS di dalam PR terutamanya DAP menjadi sasaran kecaman ISMA saban hari? Kenapa 'serangan' yang sama tidak pernah dilafazkan pada UMNO?

ISMA nampaknya meletakkan hukum bahawa dengan kerjasama politik yang terjalin antara PAS dan DAP, maka PAS tidak akan mempedulikan isu-isu yang melibatkan orang Islam dan membiarkannya tanpa membantu. Jika ini yang berlaku, maka ia amat dikesali. Sedangkan dengan jelas terbukti PAS selama mana berkerjasama dengan DAP, kebajikan dan hak-hak orang Islam terus diperjuangkan di mana-mana sahaja terutama di negeri-negeri yang ditadbir PR. Dakwah, hak Bumiputera, ekonomi orang Melayu dan apa jua perkara demi kebaikan orang Melayu, semuanya diperjuangkan PAS tanpa kompromi, namun berstrategi.

Jika perpaduan Melayu yang ISMA cari, maka ISMA sepatutnya menjadi jambatan yang akan menghubungkan antara PAS dan UMNO di dalam banyak isu yang memberi keuntungan kepada orang Melayu Islam, tetapi gagal disepakati kerana dendam politik. Isu hudud, royalti, ceramah agama yang dihalang, Sekolah Agama Rakyat dan yang terbaru seruan Tuan Guru Haji Abdul Hadi tentang pindaan takrifan agama daripada religion kepada Ad-Din. Semua isu ini adalah demi kebaikan umat Islam tetapi digagalkan sehingga membawa kesengsaraan kepada orang Melayu Islam.

Namun, apa yang diperbesarkan oleh ISMA saban hari adalah menafikan ijtihad ulama PAS berkenaan tahalluf siyasi yang PAS lakukan bersama PKR dan DAP, dalam keadaan kerjasama politik PAS ini sama sekali tidak menghalang PAS untuk memberikan komitmen bersama UMNO untuk isu-isu yang menyentuh kebaikan umat Islam. Seolah-olah seruan perpaduan ini hanya pada PAS sedangkan ianya untuk UMNO juga. Satu persatu kenyataan pimpinan ISMA menyerang PAS sebagai punca gagalnya penyatuan Melayu Islam hanya kerana PAS bersama dengan DAP di dalam politik

Inilah kecelaruan pertama yang saya nampak terdapat pada pimpinan ISMA iaitu apa yang digariskan tidak sama dengan apa yang dilakukan. Yang digariskan adalah seruan kerjasama PAS-UMNO di dalam isu bersama tetapi yang dilakukan adalah serangan terhadap PAS disebabkan PAS jalin kerjasama politik dengan DAP. Perkara ini berterusan sebulan dua ini walaupun PAS bersama ulamanya sudah menerangkan berkali-kali berkenaan tahalluf siyasi ini, namun pernah ISMA cuba untuk memahami dan menghormati PAS?

Masalah Umat Islam Boleh Diselesaikan Tanpa Pergabungan Politik

ISMA terus menerus mengatakan bahawa masalah umat Islam hanya boleh selesai jika UMNO dan PAS bersatu, di mana yang saya lihat kesatuan yang ISMA maksudkan adalah kesatuan politik (disebabkan serangan berterusan mereka kepada ijtihad tahalluf siyasi PAS). Dengan maksud yang lain, masalah orang Melayu tidak akan selesai selagi mana PAS dan DAP bergabung dalam kerjasama politik.

Di sini, saya ingin mengatakan bahawa masalah yang dihadapai orang Melayu yang selalu diulang-ulang oleh ISMA dan diletakkan kesalahan kepada PAS seperti murtad, kebangkitan liberalisme, LGBT, hedolisme dan lain-lain boleh diselesaikan tanpa PAS dan UMNO melakukan pergabungan politik. Ramai cendikiawan termasuk Dr MAZA sendiri mengatakan bahawa PAS dan UMNO tidak perlu bersatu dalam erti kepartian, tetapi dalam bentuk kerjasama isu yang memberikan keuntungan kepada umat Islam. Sistem dua parti adalah penting sebagai check and balance dan mengelakkan monopoli kuasa yang akan menyebabkan ketidakstabilan politik di negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

Satu penyelesaian yang boleh dilakukan yang telah pun dicadangkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abd Hadi adalah pindaan atau perubahan pentafsiran perkataan 'agama' di dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan. Mengikut penghakiman kes Suzie Teoh tahun 1987, pengislaman Suzie Teoh disimpulkan sebagai tidak sah kerana walaupun pengislamannya sah mengikut undang-undang Islam, tetapi ia bersifat sebaliknya di sisi undang-undang sivil.

Agama Bagi Persekutuan Adalah Pada Urusan Ritual Dan Keagamaan Sahaja

Di dalam kes ini, Artikel 3 diperbahaskan terutama pada perkataan 'agama' bagi menentukan hukum Islam Suzie Teoh yang sah di sisi undang-undang Islam itu, juga sah di sisi perlembagaan dan undang-undang sivil. Pentafsiran perkataan 'agama' telah dirujuk kepada standard Perlembagaan Komenwel disebabkan Perlembagaan Malaysia adalah di bawah naungan Komenwel. Maka, takrifan yang digunapakai adalah perkataan 'agama' ini membawa maksud 'religion' iaitu tertakluk kepada urusan ritual dan keagamaan sahaja seperti yang diamalkan oleh negara Komenwel lain di Eropah.

Dengan penafsiran ini, maka Islam Suzie Teoh dikatakan tidak sah kerana Islam sebagai agama bagi Persekutuan hanya pada urusan ibadah dan keagamaan sahaja, bukan hukum hakam. Apabila dirujuk kepada Artikel 11 yang menghalang orang di bawah 18 tahun mengubah agamanya dan Artikel 4 yang mengatakan undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan akan terbatal, maka Suzie Teoh dihukumkan sebagai tidak sah di sisi undang-undang sivil. Namun, atas jasa Tun Salleh Abas yang menyorokkan fail perbicaraan selama 2 tahun dan membacakan keputusannya setelah Suzie Teoh berumur 18 tahun, maka selamatlah aqidah seorang anak Cina!

TGHH mengajukan cadangan pindaan ini demi untuk keselamatan aqidah dan kepentingan umat Islam. Dengan menukarkan takrifan 'agama' daripada 'religion' kepada 'Ad-Din', maka Islam diiktiraf oleh perlembagaan sebagai cara hidup. Ia merangkumi ibadah, hukum hakam dan undang-undangnya. Dengan pindaan ini, hukum hakam Islam menjadi sebahagian daripada perlembagaan. Ia akan menyelesaikan pelbagai masalah termasuk ancaman liberal dan LGBT yang kerap menggunakan Artikel 10 (kebebasan bersuara) sebagai hujah dan juga menyelamatkan aqidah umat Islam dari murtad yang kerap menggunakan Artikel 11 (kebebasan beragama) sebagai hujah untuk murtad.

Namun, saya ingin bertanya kepada ISMA dan mohon menjawab dengan jujur. Siapakah suara Melayu Islam pertama yang membantah dan tidak bersetuju dengan idea terbaik ini malah menuduh ia mainan politik PAS? Jika tidak tahu jawapan, saya ingin memberitahu merekalah pemimpin Melayu Islam kita iaitu UMNO! PAS membawa satu cadangan pindaan perlembagaan yang penting demi kebaikan umat Islam, yang menentangnya adalah orang Melayu Islam yang ingin disatukan dengan PAS oleh ISMA iaitu UMNO. Maka, bagaimana PAS dikatakan punca perpecahan Melayu sedangkan PAS dikhianati oleh rakan sebangsa dan seagama hanya kerana dendam politik!

PAS Terus Menerus Dikhianati

ISMA memberikan idea perpaduan Melayu Islam, saya pula membantu dengan memberikan dalilnya. Di dalam Al Quran, surah Ali Imran ayat 103 berbunyi :
وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ
Bermaksud : Berpeganglah kamu semua dengan tali (agama) Allah dan janganlah berpecah belah.

Bersatu di sini hendaklah di atas ajaran Islam, menepati kehendak Al Quran dan Hadith, selaras dengan prinsip-prinsip yang Islam gariskan sesuai dengan Islam yang terkenal sebagai agama syumul dan lengkap. Bertepatan dengan ayat ini, UMNO dan PAS mampu untuk saling bantu-membantu, bersatu pada perkara yang memberikan keuntungan kepada umat Islam. Walaupun berbeza parti, tetapi atas dasar satu agama dan bangsa, kerjasama boleh terjalin demi kebaikan umat Islam.

Terdapat banyak peluang lain yang boleh menyatukan UMNO dan PAS. Contoh ringkas yang dapat saya berikan seperti isu hudud, royalti minyak Kelantan, sekolah agama rakyat (SAR), pergerakan dakwah, matlamat negara Islam, pendidikan agama, masalah hedolisme dan pelbagai lagi isu yang tidak dapat saya sebutkan semuanya. Semua yang disebutkan ini adalah masalah dan isu utama umat Islam di Malaysia di mana selagi ianya tidak selesai, maka perpecahan dan kelemahan umat Islam akan menjadi lebih besar dan membarah.

Sekali lagi saya ingin bertanya, siapakah yang menggagalkan semua ini kerana dendam politik? Rakyat Kelantan 90% adalah Melayu Islam. Pengkhianatan UMNO terhadap royalti milik rakyat Kelantan telah menyebabkan mereka terjerut dengan kemiskinan dan masalah kewangan sejak sekian lama. Undang-undang hudud dihalang perlaksanaannya, ia merupakan pengkhianatan kepada hukum Allah. Seruan wajib bersatu yang dinyatakan oleh Ustaz Usul Fiqh ISMA sepatutnya ditujukan lebih khusus kepada UMNO. Pengkhianatan UMNO inilah yang merupakan titik permulaan kepada perpecahan dan masalah lebih besar kepada umat Islam di negara kita.

Saya memohon ISMA untuk menyeru kepada UMNO untuk membantu PAS di dalam menyelesaikan masalah ini demi kebaikan umat Islam. ISMA sebagai NGO Islam boleh meminta UMNO untuk menyokong pindaan Artikel 3 yang TGHH cadangkan. Minta juga UMNO untuk membantu perlaksanaan hudud di Kelantan. Cadangkan juga agar royalti minyak diberikan kepada kerajaan Kelantan. Kemudian mohon untuk memberikan bantuan kepada SAR. Meminta kerajaan tidak menyekat pendakwah yang diakui ilmunya untuk berdakwah. Membantu PAS untuk merealisasikan negara Islam dan membantu untuk menerangkan kepada bukan Islam tentang keindahan Islam. Laksanakan pendidikan agama yang lebih kukuh dan menggarap hiburan yang dibenarkan Islam di Malaysia.

Maka, hukum haram tidak bersatu yang ISMA ingin lontarkan sepatutnya kepada UMNO. Tetapi apa yang berlaku di sebaliknya. PAS terus menerus dikatakan punca perpecahan orang Melayu hanya kerana PAS bekerjsama dengan DAP sedangkan PAS banyak mengusahakan untuk menyelesaikan masalah perpecahan, aqidah, ekonomi, pendidikan dan serangan sekularisme terhadap umat Islam. Namun,adakah UMNO membalasanya?

Di sinilah kelihatan jelas kecelaruan ISMA yang kedua iaitu seruan dan tindakan dibuat tanpa melihat realiti yang berlaku. Hinggakan seruan yang sepatutnya lebih ditujukan kepada UMNO, diarahkan kepada PAS. PAS dikatakan haram berkerjasama dengan DAP sedangkan ia perlu dilontarkan kepada UMNO yang banyak mengkhianati umat Islam.

Iklim Politik Negara Memerlukan PAS Untuk Bergabung

Di dalam lapangan politik, PAS selaku satu-satunya parti yang berteraskan Islam, yang memperjuangkan syariat dan perlaksanaan Islam di dalam pemerintahan negara tidak mampu untuk menang dengan sendirinya 112 kerusi Parlimen bagi mendapat majoriti mudah, apatah lagi 148 kerusi untuk majoriti 2/3. Waqi' politik di Malaysia memerlukan PAS untuk bergabung dengan parti-parti lain bagi membentuk kekuatan menguasai majoriti di Parlimen, seterusnya menubuhkan kerajaan untuk menjalankan dasar yang diperjuangkan.

Bagi idea bergabung ini, suka saya membawakan satu ayat dari surah Al Ma'idah ayat ke 2 di hujungnya berbunyi :
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Bermaksud : Dan bertolong bantulah kami dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara kemungkaran dan melampaui batas. Bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya siksaan Allah itu amat berat.

PAS mesti mencari rakan parti yang membantu ke arah kedua-dua perkara ini iaitu kebaikan dan ketaqwaan. Dengan ayat mudah, PAS mesti mencari rakan politik yang membolehkan PAS melaksanakan perjuangan dan dasar Islam yang dibawa seperti negara Islam dan hudud. Namun, sejauh manakah PAS mampu mencari rakan yang boleh bersama membawa dan menjayakan dasar Islam yang PAS bawa?

Tiada Yang Terima Dasar Islam, Bagaimana Pula Dasar Kebaikan Dan Keadilan?

Kita sedia maklum, tiada mana-mana parti selain PAS yang ingin membawa dasar Islam di dalam pemerintahan negara. ISMA mungkin mengatakan UMNO membawa dasar Islam, saya serahkan kepada para pembaca samada untuk bersetuju atau tidak. Bagi saya, tiada selain PAS yang membawa dasar Islam. UMNO dengan kebangsaan dan sekularnya, MCA dan MIC juga dengan bangsa mereka dan sekular, PKR dengan sosialisnya, DAP dengan sekularnya. Maka, dengan pertimbangan apa pula seterusnya untuk PAS mencari kawan politiknya?

Jika dasar ketaqwaan tidak dapat dicari, maka ciri kedua yang menjadi penentu siapakah rakan politik PAS adalah kebaikan, keadilan, dan ketelusan. Elemen ini amat dituntut dalam Islam dan menjadi ciri-ciri utama pemerintahan yang dicadangkan Islam. Seperti tercatat di dalam kitab Tafsir Qurtubi bahawa perkataan 'Al Bir' itu membawa maksud kebaikan yang khusus untuk sesama manusia. Maka, siapakah di kalangan parti-parti politik selain PAS yang mendokong dasar keadilan dan ketelusan ini.

Jika ISMA menjawab UMNO, saya serahkan sekali lagi beserta senyuman kepada para pembaca untuk menilai. Dalam penilaian PAS, UMNO-BN adalah sangat jauh dari ciri keadilan dan ketelusan ini. Sudah menjadi rahsia umum bahawa BN terutamanya UMNO adalah terkenal dengan rasuah, penyelewengan, pembaziran, ketidaktelusan dan korupsi. Sejak 50 tahun lalu terutamanya dua dekad terakhir ini, berapa billion wang negara lesap, samada melalui pembaziran, ketirisan dan penyelewengan.

Tiada Kerjsama Dengan Parti Rasuah!

Di sinilah PAS melihat terdapat persamaan perjuangan keadilan, ketelusan dan kebaikan ini pada PKR dan DAP. Ini terbukti sepanjang 4 tahun pemerintahan mereka di Selangor dan Pulau Pinang. Rekod menunjukkan betapa banyak penjimatan dapat dibuat, betapa banyak pendapatan dijana dan betapa banyak hasil dipulangkan kepada rakyat. Manakala cuba cari mana-mana pertuduhan penyelewengan dan ketirisan yang dapat dibuktikan di mahkamah disabitkan kepada mereka. Nilai inilah yang menjadi titik persamaan mereka dengan PAS. Walaupun tidak membawa dasar Islam seperti PAS, mereka membawa dasar keadilan yang diperjuangkan Islam. Ia sangat berbeza dengan UMNO di mana Islam tidak diperjuangkan, manakala penyelewengan menjadi imej utama UMNO.

Bertepatan dengan ayat Quran di atas tadi, PAS sama sekali tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO selagi mana UMNO kekal dengan budaya rasuah, pembaziran, ketirisan, penyelewengan dan ketidaktelusan. Ini adalah kerana PAS selaku parti memperjuangkan keadilan Islam, jika bergabung dengan UMNO seolah-olah akan memadamkan dosa penyelewengan UMNO dan meredhai kezaliman yang UMNO lakukan. Penggabungan dengan UMNO juga akan memberikan kekuatan politik dan kemenangan moral kepada UMNO untuk terus memerintah negara dengan budaya penyelewengan yang berterusan.

Bersama DAP dan PKR juga, PAS dapat melaksanakan dakwah Islam dengan lebih luas, jauh lebih baik daripada zaman tahalluf siyasi dengan UMNO-BN pada tahun 1969-1978. PAS diberikan ruang seluasnya untuk menerangkan Islam. Dakwah Islam diterima dengan sangat baik. Dakwah disampaikan pada semua golongan tidak kira Mat Rempit, artis, pegawai kerajaan, orang seni, sasterawan, tua, muda, kaya, miskin. Tidak pernah lihat masyarakat menerima Islam secara afwaja seperti hari ini.

Peluang menjadi sebahagian daripada kerajaan di beberapa buah negeri digunakn sepenuhnya untuk menyampaikan Islam. Hinggakan isu yang dahulunya menjadi ketakutan kepada bukan Islam seperti hudud dan negara Islam, kini orang bukan Islam telah memahaminya dengan baik, malah duduk sekali di dalam majlis dakwah umat Islam! Sangat berbeza dengan UMNO sehinggakan hasrat untuk melihat satu ceramah agama dan dakwah di Putrajaya International Convention Centre pun dibatalkan hanya kerana ustaz yang akan menyampaikan ceramah itu dilabel sebagai Ustaz PAS. Apa kata ISMA dalam hal ini?

Tahulluf Siyasi PAS

Atas pertimbangan inilah ulama PAS membuat keputusan untuk mengadakan apa yang dinamakan tahlluf siyasi (kerjasama politik) bersama DAP dan PKR berdasarkan persamaan di dalam perjuangan menentang kezaliman dan rasuah.Adapun kerjasama ini sama sekali tidak akan membuatkan PAS mengorbankan perjuangan Islam yang dibawa sekian lama. PAS kekal dengan prinsip dan cita-cita untuk menegakkan Islam sepenuhnya di dalam negara, walaupun secara berstrategi.

Tidak dinafikan terdapat 'usikan nakal' rakan-rakan PAS berkenaan hasrat PAS ini. Tetapi, PAS tidak membalasnya dengan hunusan keris, pekikan Hang Tuah apatah lagi dengan senaman punggung. PAS balas dengan penerangan demi penerangan disamping kekal bertegas dengan prinsip. Hasilnya, DAP dan PKR kini mengenali PAS bukan parti yang mudah mereka umpan untuk meninggalkan perjuangan Islam. Hasil ini jauh lebih baik dari 'dakwah' UMNO kepada MCA sehinggakan UMNO diam menikus apabila MCA menjerkahnya berkenaan isu hudud!

Namun, kenapa ISMA seolah-olah tidak mahu faham dan terus menerus mempertikaikan ijtihad politik PAS ini. PAS bersama ulamanya yang merupakan ahli di dalam lapangan jihad siasah di Malaysia langsuung tidak dihormati oleh ISMA. ISMA terus menerus menganggap PAS salah segalanya dan ISMA betul segalanya. Walaupun yang diseru adalah penyatuan Islam, tetapi tahalluf siyasi inilah yang dipermainkan ISMA setiap hari.Inilah kecelaruan ketiga yang melanda ISMA iaitu bertindak mengatasi bidang pengkhususannya sehingga menafikan ijtihad ahli bidang tersebut.

Di Manakah Pendirian ISMA?

Di dalam kelantangan ISMA menghujum PAS, saya ingin bertanya, di manakah pendirian ISMA di dalam isu-isu penyelewengan dan ketidaktelusan yang berleluasa di negara kita. Dalam isu rasuah NFC, di manakah suara ISMA? Adakah perjuangan mempertahankan hak rakyat bukan agenda umat? Di dalam isu Bersih dan penyelewengan pilihan raya, apakah pendirian ISMA? Tak mengapa, saya dah tahu. Tak perlu perjuangkan sangat kerana umat Islam belum menjadi suara majoriti. Lagipun ia tidak membawa agenda umat!!

Mampukah ISMA bersuara lantang di hadapan UMNO untuk menentang penyelewengan seperti lantangnya mereka mengkritik PAS. Adakah ISMA ingin menafikan membersihkan negara dari penyelewengan dan ketidakadilan bukan keutamaan di dalam pemerintahan Islam. Saya pasti, ramai ahli ISMA yang ikhlas untuk mendapat tarbiyah, mengenal Islam dan mendapat bimbingan dakwah merasa kecewa dan keliru dengan kenyataan dan pendirian yang pimpinan ISMA keluarkan setiap hari.

Inilah tiga kecelaruan yang dapat saya kenal pasti berlaku kepada ISMA. Ia tidaklah sebesar krisis identiti PAS yang didakwa oleh ISMA sebelum ini. Saya menyeru ISMA untuk kembali kepada pendirian yang benar iaitu NGO yang bebas, mengkritik dengan ikhlas dan seimbang, berpandukan penilaian Islam yang syumul, menghormati ijtihad jemaah lain dan bertolong bantu pada keadilan dan kebaikan.

Jika tidak, ISMA sedang merosakkan thiqah masyarakat kepadanya dengan terus-menerus membiarkan dirinya dipergunakan oleh pihak berkepentingan untuk kelangsungan kuasanya samada secara sedar atau tidak sedar. Pendirian senget sebelah yang dikemukan dibimbangi menjadi tongkat kekuatan buat pihak yang rasuah. ISMA boleh menafikan, tetapi tindakan pimpinan mereka membenarkannya. Mohon berlapang dada dengan artikel terbuka yang kurang ilmiah ini, bukan dari orang besar pun. Hanya teguran ikhlas dari seorang hamba Allah yang biasa.

Mohd Azrul Azuan bin Idris
Bukan pakar Usul Fiqh
21 Mei 2012, 9.36 malam.
Hussien, Kaherah




TEGURAN KEPADA HASAN ALI @ HASAN JATI


Assalamualaykom w.b.t.

YB Dato’ Dr Hasan Ali yang saya hormati,

Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Dato’ juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Dato’ sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Dato’ sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato’ menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato’ mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang telah Dato’ lemparkan kepada mantan parti Dato’ sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Dato’ di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato’ yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Dato’ untuk menilai beberapa kenyataan Dato’ dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya. Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik. Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Dato’. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato’ mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Dato’.

Saya kira Dato’ mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring). Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan ‘perkongsian kuasa’ (power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’ melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.


Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka. Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka. Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator. Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut. Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu. Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).

Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan. Menurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Dato’ merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Dato’ tersilap. Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Dato’ dakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit. Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Dato ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

Yakinlah Dato’, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut. Inilah yang ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji. Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang. Malang sekali apabila Dato’ pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato’ menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.

Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Dato’ lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Dato’ ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah Berjaya di negara masing-masing. Saya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS. Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Dato’, malah dipandang sinis.

Melihat kepada isu hudud yang Dato’ anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai. Apa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang ‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.

Akhirkata, jika Dato’ benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Dato’ lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato’. Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Dato’ untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato’ miliki. Mungkin juga Dato’ boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato’ sibuk dengan tugas exco, kini Dato’ lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Dato’ yang ingin menjaga aqidah itu. Saya kira Dato’ juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Dato’ itu. Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Dato’ untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Dato’ kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal. Saya amat meyakini, jika Dato’ berdakwah seperti itu, Dato’ akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.


Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM


Wednesday, May 16, 2012

ISMA PERTIKAI TAHALLUF PAS..NAH ! INI JAWAPANNYA..


PAS dan Kebenaran
Apa itu Tahaluf Siyasi......................???

HUKUM TAHALUF SIYASI DALAM KONTEKS GERAKAN ISLAM MASAKINI

Disediakan oleh:
Ahmad Fadhli bin Shaari
Pensyarah KIAS

Pendahuluan

Istilah tahaluf siyasi menjadi satu istilah yang semakin dikenali khususnya di kalangan pendokong gerakan Islam. Dengan kejatuhan khilafah Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924, gerakan Islam yang pertama ditubuhkan ialah Ikhwan al-Muslimin di bawah pimpinan Hassan al-Banna pada tahun 1928. Penubuhan gerakan ini di Mesir membayangkan hasrat untuk menegakkan Haikimiyyah Allah SWT. Idealisme ini berkembang ke seluruh dunia dengan penubuhan gerakan-gerakan Islam di hampir setiap negara di dunia. Matlamat dan konsep perjuangan mereka hampir sama antara satu lain iaitu ke arah menegakkan sebuah negara Islam dan lebih jauh dari itu menghidupkan semula sistem khilafah yang telah berkubur.

Dalam keadaan hari ini, amatlah disedari oleh gerakan-gerakan Islam bahawa mereka tidak mampu untuk berdiri sendiri dalam memperjuangkan aspirasi masing-masing. Di dalam sesebuah negara bangsa yang dibina pada zaman moden ini, tidak semua rakyat memahami inti kandungan Islam dan kebaikan-kebaikannya. Lantas, berlakulah keperluan untuk bekerjsama dengan gerakan lain samada di dalam menyertai politik pilihanraya atau sebagai pendokong di dalam pembentukan kerajaan. Perosalannya, adakah ia merupakan satu keharusan? Dalam erti kata lain, haruskah bagi sesebuah gerakan Islam untuk menjalinkan kerjasama dengan gerakan lain yang tidak mempunyai hasrat yang sama dengannya dalam membentuk kerajaan?

Pengertian Tahaluf Siyasi

Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.

Hukum Tahaluf Siyasi

Para ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam. Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram. Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah . Manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid , Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban .

Dalil-dalil yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah seperti berikut :

1. Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52)

Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bencana". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.

Hujah : Kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam.

2. Firman Allah SWT :

فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Yang bermaksud : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya

Hujah : Ayat di atas berkenaan dengan pengharaman arak dan judi. Namun jika dilihat dari sudut tahaluf siyasi, kerjasama dengan musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa sudut, bagaimanapun dari sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan hakimiah Allah SWT, ia tidak akan dapat dicapai. Lantas, kerjasama akan menyebabkan terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah. Oleh yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak mendatangkan mudharat daripada manfaat.

3. Pertimbangan logik bahawa gerakan yang tidak berhasrat untuk menegakkan Islam ini pastinya hanyalah menjadikan gerakan Islam sebagai jambatan untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka sekali-kali tidak membiarkan gerakan Islam ini berkembang sehingga mengatasi diri mereka. Dan ini sekali lagi akan menghalang kepada tertegaknya daulah Islamiah seperti yang diperjuangan oleh Harakah Islamiah.

Manakala bagi golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :
1. Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan :

وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً

Yang bermaksud : Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.

Hujah : Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.

2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :

2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya” Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.

2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.

Hujah : Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.

3. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”

Hujah : Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal . Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.

4. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua pihak.

Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”

Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.

5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.

6. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.

Jawapan Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi
Di dalam memberikan jawapan kepada golongan ulama haraki yang mengharamkan tahaluf siyasi, beberapa pandangan telah dikemukakan. Antara lain :
1. Ayat yang digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena mengena dengan tahaluf siyasi tetapi berkenaan dengan orang yang keluar langsung dari Harakah Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.

2. Ayat 219 dari surah al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah mengharamkan tahaluf siyasi bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya. Ini kerana daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Mesir, Sudan dan Yaman, manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum muslimin. Oleh yang demikian, di dalam masalah manfaat dan mudharat ini, pertimbangan berdasarkan senario semasa perlu diambil kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli strategi.

KESIMPULAN
Di dalam mendepani arus politik dunia pada hari ini, gerakan Islam perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan gerakan Islam mendapat keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.

Penyertaan gerakan Islam dalam mana-mana kerajaan seharusnya dilakukan dengen penelitian yang teliti terhadap senario politik setempat. Oleh yang demikian, pimpinan gerakan Islam perlulah sentiasa prihatin dan sensitif dengan perkembangan semasa serta kehendak masyarakat agar langkah yang diambil tidak menyebabkan kerugian di mereka nanti.

Maklumat Penulis :

Ahmad Fadhli bin Shaari
B.A (Hons) Dakwah Islamiyyah, Univ. Al-Azhar, Mesir.
Penulis merupakan Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah

~ Sumber: http://www.kias.edu.my/ ~

KISAH BERSIH 3.0 DI TANAH SUCI



Isu bersih 3.0 meletup diseluruh Negara, tetapi antara yang menjadi perhatian dan menimbulkan kontroversi sehingga kini ialah demontrasi di mekah dan madinah, sehingga kononnya menyebabkan kuota bakal haji Jemaah Malaysia bakal dikurangkan @ visa mereka bakal disekat  dan sebagainya. Adakah ianya sesuatu yang reality ataupun ianya provokasi oleh golongan-golongan tertentu, memandangkan tiada langsung berita rasmi daripada pihak kerajaan Saudi yang menyebutkan hal demikian.? Ataupun ianya memang sengaja dirancang dan diperbesarkan dengan melaporkan pelbagai cerita tokok tambah? Segala kemungkinan boleh terjadi memandangkan aura Pilihan Raya Umum 13 yang semakin hampir.

Saya menyelidiki sendiri kes mereka yang terlibat dalam demo bersih mekah dan madinah. Bagaimanakah bentuk demontrasi bersih versi mekah dan madinah? Adakah kalian terkinja-kinja dan berarak disekitar masjid @ bertawaf? Hinggakan kedapatan mulut-mulut ganas yang menggelarkan kalian sebagai mulhid (tiada agama)? Walaupun jauh disudut hati kurang bersetuju aktiviti demontrasi bersih di tanah haram kerana suasana dan tabiat Negara Arab Saudi yang berbeza, tetapi ianya telah berlalu dan berlaku.

Akan tetapi rupa-rupanya demontrasi versi Mekah dan Madinah itu hanyalah SESI BERGAMBAR BAJU KUNING DENGAN BANER BERSIH sebagai sokongan kepada tuntutan sebahagian besar rakyat Malaysia terhadap system pilihnraya yang adil dan bersih. Bukan sekadar itu, bahkan peserta ambil gambar bersih di masjid perkarangan masjid nabawi dilihat biasa sahaja oleh polis-polis masjid nabawi sepertimana lazimnya orang yang mengambil gambar kenangan. Dimanakah kononnya ucapan menghasut orang-orang arab untuk melakukan arab spring dan sebagainya? Maka nampaklah bahawa ianya adalah propanganda yang sengaja diperbesarkan oleh segelintir orang yang punya motif tersendiri.

Semua orang punya hak untuk berbeza fahaman dalam politik dan dalam perkara-perkara yang bukan usul agama. Mengapakah seolah-olah bersih versi Mekah dan Madinah dicanangkan oleh mereka sebagai kelakuan khawarij, mulhid dan penjenayah dan sebagainya? Saya berpendapat bahawa apa-apa yang dipaparkan melalui akhbar umum di Malaysia adalah hasil daripada tangan-tangan jahat yang mahukan supaya diambil tindakan buruk kepada peserta bersih di Mekah dan Madinah. Pena minang dan abu akif telah memainkan peranannya melalui kerjasama beberapa kerat pelajar Madinah yang berfahaman tertentu untuk melaporkan sesuatu yang kurang jelas kepada kedutaan Saudi di Malaysia. Kononnya kedutaan Saudi mahukan maklumat lengkap peserta bersih. Maka, caranya ialah menggunakan beberapa individu yang boleh mempengaruhi Duta besar Saudi di Malaysia untuk menakutkan dan kalau boleh mengambil tindakan undang-undang kepada peserta bersih versi Mekah dan Madinah.

Amat peliklah manhaj yang digunakan oleh puak-puak  yang  mendakwa bermanhaj salaf ini dalam menangani kepelbagaian fahaman politik di Malaysia semata-mata mahu menunjukkan dan membuktikan sokongan tebal mereka kepada pemerintah. Mungkin sebab itulah saya tidak perlu hairan apabila ada seorang pelajar agama keluaran university yang membuat kenyataan bahawa mengundi selain daripada parti BN adalah haram dan dianggap sebagai khawarij kerana ianya sama dengan menggulingkan kerajaan. Amat memalukan kenyataan seperti ini. Adakah dia ini tidak faham system demokrasi yang dia sudah hidup dan dibesarkan semenjak lahir hingga kepada umurnya sekarang ini?

Pelik sungguh manhaj yang mereka gunakan dalam berdepan dengan suasana politik demokrasi Malaysia! Adakah mereka mahu mendekatkan diri kepada pemimpin-pemimpin tersebut dengan alasan dakwah? Jika itulah sebenarnya tujuan mereka, maka sangatlah dialu-alukan, semoga para pemimpin yang rosak itu akan berubah dan melakukan banyak perubahan positif di dalam Negara. Tetapi sangatlah dikhawatiri jika mereka itu terjebak kepada kancah kepura-pura dan amibil mudah sehingga mereka dituduh pula sebagai golongan Murjiah. Ianya akan menyebabkan amalan Nahi munkar terpadam daripada kamus pemikiran jika kesalahan itu dilakukan oleh para pemimpin. Maka konsep menegur pemimpin mestilah secara sir di war-warkan dan mengharamkan secara mutlak teguran secara jahar dalam apa jua keadaan. Semoga mereka dan kita semua diberikan hidayah dan taufik Allah.

Suka saya nyatakan disini kepada mereka yang berniat buruk terhadap mereka yang mengambil gambar bersih di Mekah dan Madinah bahawa tindakan kalian ini adalah sesuatu yang melanggar hak mereka untuk menyatakan pendirian mereka. Tindakan kalian ini adalah perkara yang berbentuk fitnah jika laporan yang tidak tepat itu disertakan dengan tokok tambah dan kenyataan-kenyataan berbau permusuhan. Insaflah, bahawa kalian semua dan kita semua akan dihisab dan dihitung dihadapan Allah Rabbul Jalil. Tiada satu perkara pun yang akan terlepas dan tidak dihakimi. Jika kalian beriktikad demontrasi di Negara demokrasi adalah haram secara mutlak sedangkan ianya masih dalam urusan ijtihad, berpadalah dengan memberikan hujjah tanpa memaksakan orang lain kepada fatwa dan pandangan tersebut. Lagi pulak demo versi Mekah dan Madinah hanyalah sekadar MENGAMBIL GAMBAR BERSAMA BANER BERSIH! Wallahu A3lam.


TV Media Mesir