Friday, December 23, 2011

BKAN MELAKA TERUS BERTAHAN, IMAM KEHILANGAN ‘MAKMUM’


Badan Kebajikan Anak Negeri Melaka yang telah diharamkan oleh Kerajaan Melaka dilihat makin terus kehadapan. Jika diukur dari sudut halangan dan kekangan yang diberikan oleh Kerajaan Melaka pastinya akal kita akan mengatakan BKAN Melaka akan terhapus dan lenyap terus dari bumi Mesir. Kehadiran dua orang pegawai dari Malaysia, dilihat usaha yang begitu bersungguh dilakukan bagi memastikan hasrat UMNO tercapai.

Anuar Idris dan rakan pembantu beliau yang lebih dikenali sebagai “Wan Motor” sememangnya telah dikenali semenjak kedatangan mereka di Bumi Mesir. Sikap ala samseng yang cuba ditonjolkan pada awal kehadiran mereka makin terhapus disebabkan kekuatan kesatuan yang terbina dari kalangan anak-anak Melaka yang sememangya menyayangi persatuan lama mereka. Mungkin Wan Motor terlalu banyak menonton cerita yang bertemakan kongsi gelap dan samseng sehinggakan menulis di blog peribadi beliau dengan perkataan yang mirip kepada bahasa yang digunakan dalam filem yang berkaitan dengan samseng dan kejahatan.Mungkin inilah watak sebenar beliau.(gambar bawah : Wan Motor di kanan)

Sebab yang sama juga digunakan oleh Ketua Menteri Melaka bagi mengharamkan BKAN Melaka iaitu mempunyai hubungan yang baik dengan PMRAM tapi tidak UMNO Mesir. Skrip ini juga pernah digunakan oleh Menteri Besar Selangor sebelum ini, Khir Toyo bagi mengaharamkan persatuan BKAN Selangor. Tindakan yang diambil terhadap BKAN Melaka sebenarnya telah menggambarkan kesempitan pemikiran para pegawai dan UMNO yang dilihat cukup terdesak bagi menghalang kebebasan dan hak untuk Mahasiswa menyuarakan kebenaran.

MAHASISWA DAN KERAJAAN

Jika isu hak kebebasan bersuara bagi Mahasiswa cukup hangat diperkatakan di Malaysia, perkara yang sama juga perlu disedari oleh para pegawai jumud yang berada di Mesir. Isu hak kebebasan Mahasiswa dalam bersuara, berhimpun dan meyertai kumpulan bebas pada dasarnya telah melanggar perlembagaan.

Kerajaan Malaysia sebenaryna cukup bimbang dan takut dengan kebangkitan para Mahasiswa pada hari ini. Situasi ini turut disokong oleh fenomena yang dinamakan sebagai “arab spring” yang memperlihatkan penolakan rakyat terhadap pihak pemerintah yang zalim dan korup. Di  Mesir sebagai contoh, anak muda bangun melawan dan berhimpun hingga jatuhnya rejim Mubarak yang berkuasa hampir 30 tahun.

Situasi ini pastinya menggentarkan UMNO yang dilihat semakin hari semakin terpalit dengan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tambahan pula Mesir mempunyai bilangan pelajar Malaysia yang cukup ramai menuntut di sini dalam bidang perubatan dan pengajian islam.

Kegopohan UMNO dalam menawan kembali hati rakyat Malaysia dapat dilihat ketika pelancaran Ops Piramid. Umum seakan-akan telah mengetahui bahawa penghantaran pulang Rakyat Malaysia ketika rusuhan hanyalah akibat desakan dan tekanan melampau yang dikenakan kepada kerajaan. Andai dilihat situasi Mesir ketika itu, tidaklah terlalu mendesak untuk dibawa pulang dan dilaksanakan evakuasi.

KEBAJIKAN DAN KEUTAMAAN UMNO

Isu kebajikan yang sewajarnya menjadi agenda utama bagi mana-mana pemerintah turut dilihat kian sepi.Agensi seperti E.M yang diwujudkan, sepatutnya menjalankan tugas mereka seperti yang telah termaktub dalam tujuan dan matlamat penubuhan E.M di luar Negara. Namun sehingga kini, E.M masih dilihat sebagai keldai tunggangan UMNO bagi menghapuskan suara yang membangkang dasar kerajaan yang salah.

Kelab UMNO Mesir diwujudkan tanpa ada sedikitpun manfaat melainkan hanya menghabiskan wang rakyat. Berbelanja dengan mewah dan menjadi lidah yang menjilat kotoran dan kesalahan UMNO seperti sudah sebati dengan Kelab UMNO Mesir. Kelab UMNO Mesir hanyalah kewujudan yang sia-sia kerana UMNO menunggu rebah.

0 comments:

Post a Comment

TV Media Mesir