Thursday, February 16, 2012

ADAKAH DATO' DUTA HADIRI MAJLIS UMNO ? APAKAH KEDUTAAN MEMANG UMNO ? ANDA SENDIRI PERLU MENILAI.....

Ucapan sepatah dua daripada Mantan Pengerusi Kelab UMNO pada majlis berkenaan...

Bismillahirahmanirahim Alhamdulillahirabbilalamin Wasollatu Wassalam Mua’la Asyrafil Anbiya Iwal Mursalin Wa Ala Alihi Wasohbihi Ajmain 
Terima kasih Saudara/Saudari Pengerusi Majlis.
Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia Ke Mesir Professor Madya Dato’ Dr. Mohd. Fakhrudin Bin Abdul Mukti
Serta Yang Berbahagia Datin 
Yang dihormati Pengarah EM Egypt Professor Madya Dr Hj Suaidi Dato' Hj Safei 
Yang Berusaha Pengerusi Kelab UMNO Kaherah Sesi 2011/2012 Saudara Hafiz Bin Hamzah Serta Isteri  
Yang amat dihargai, Barisan Mantan Ahli Majlis Tertinggi Kelab UMNO Kaherah Sesi 2010/2011 
Yang diamanahkan, Barisan Ahli Majlis Tertinggi Kelab UMNO Kaherah Sesi 2011/2012 
Yang dihormati, Barisan Ahli Lembaga Penasihat Kelab UMNO Kaherah 
Barisan Kepimpinan Kelab UMNO Cawangan-cawangan lain di Mesir 
Yang paling dihargai Para Ahli Kelab UMNO Kaherah dan cawangan-cawangan lain. 
Para pegawai-pegawai kedutaan , agensi serta negeri 
Serta Hadirin yang dirahmati Allah. 


Assalamualaikum WBT 

Mula-mula sekali saya ingin menyatakan kesyukuran saya ke hadrat Allah SWT dengan limpah dan kurniaNya Malam Aprisiasi Kelab UMNO Kaherah dapat dijalankan di dalam Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah ini. Setahun berlalu tanpa disedarkan, Mengundang pelbagai mulut yang berkata; Hamba di sini memohon keizinan, Seorang mantan membuka kata. 

(Penyerahan tugas oleh mantan Pengerusi Kelab UMNO 2010/2011 Wan Sherhan Seruji kepada Hafiz Hamzah dalam Majlis Apresiasi Kelab UMNO Kaherah baru-baru lalu bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah, Mesir)

Tahun 2010/2011 merupakan suatu tahun yang memang sukar dilupakan untuk semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir di mana ramai yang di sini mengalami secara sendiri suatu detik yang kita tidak pernah jangka dan tidak pernah terlintas di dalam fikiran kita semua. Apakah ini suatu suratan atau kebetulan, kerana pada jangka masa yang sama, diri ini telah diamanahkan untuk memikul tanggungjawab dalam memimpin Kelab UMNO Kaherah. 

Sudah tentu dalam jangka masa ini pelbagai cabaran, dugaan, kejayaan, kekecewaan , pahit serta manis telah dilalui. Pengalaman seperti ini tentunya suatu pengajaran buat diri saya secara peribadinya. Secara peribadinya, saya sendiri tidak akan pernah mampu menggalas segala tugasan secara solo tanpa bantuan dan sokongan daripada kalian. Apalah erti saya sebagai seorang Pengerusi tanpa sokongan para ahli serta para pelajar. 

Tidak ada kekuatan saya sebagai Pengerusi tanpa kerjasama para barisan kepimpinan Kaherah dibawah pimpinan saya serta rakan pimpinan dari cawangan yang lain. Mungkin Pengerusi ini bakal tergelincir tanpa nasihat dan dorongan daripada kekanda dan ayahanda dari Barisan Ahli Lembaga Penasihat serta para pegawai. Mana mungkin diri ini akan terubat dari kesedihan , kegusaran serta kekecewaan tanpa sentuhan keibuan daripada PERWAKILAN di bawah kepimpinan Yang Berbahagia Bonda Datin Zaharah Binti Md Hashim. 

Tidak mungkin saya mampu berdiri di sini sebagai Pengerusi tanpa naungan ayahanda Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia Ke Mesir Professor Madya Dato’ Dr. Mohd. Fakhruddin Bin Abdul Mukhti. Hasil kerjasama, sokongan serta bantuan semua, barulah Kelab UMNO Kaherah dibawah pimpinan saya untuk sesi 2010/2011 diberi Anugerah Khas oleh Kuala Lumpur pada Perhimpunan Agung yang lepas. Anugerah ini, merupakan penghargaan kepada semua, ini merupakan hasil kerjasama dan usaha gigih keras dari semua. 

Tidak ada kejayaan solo atas anugerah ini, tidak ada ada pihak yang boleh mengambil kredit 100% daripada anugerah ini, kerana anugerah ini anugerah kita, anugerah ini milik kita secara satu pasukan. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada semua Mohon maaf pembuka kata, Kali terakhir di pentas cerita; Tidak berniat memanjang kata, Hanya ingin berkongsi suatu ceritera.

Hadirin yang dihormati, Pada kesempatan ini saya ingin membawa hadirin untuk melihat Kelab UMNO Kaherah secara spesifiknya dan amnya kita sebagai kelompok pelajar di Mesir ini akan ertinya suatu kerjasama. Untuk memudahkan cerita izinkan saya menceritakan mengenai team bola sepak, mesti ramai yang tahu mengenai bola sepak, andai tidak main bola sepak sekurangnya tahu sedikit sebanyak mengenai bola sepak. Seperti kita tahu permainan bola sepak merupakan permainan berpasukan dan terdiri daripada pelbagai posisi serta entiti. 

Posisi pertama : Penyerang Untuk pengetahuan semua posisi ini tidak mempunyai banyak kuota, dan hanya yang hebat menyerang dan mempunyai sifat ingin menyerang mampu untuk membarisi sebagai pasukan penyerang. Tugas penyerang ini tidak lain tidak bukan untuk menyerang dan menjaringkan gol. Peratusan mereka untuk menjaringkan gol pula adalah amat tinggi berbanding dengan posisi yang lain kerana kedudukan mereka paling dekat dengan tiang gol lawan. Penyerang pula selalunya terkenal berbanding dengan pemain posisi lain. Penyerang pula selalu diangkat sebagai wira kemenangan suatu pasukan. 

Penyerang pula ada pelbagai jenis dan pelbagai sifat, ada yang bijak membantu barisan yang lain serta menunggu masa yang sesuai untuk menghasilkan jaringan yang tentu pasti gol. Ada pula penyerang yang pantang dapat bola di kaki terus membuat rembatan asal bergaya gol belakang cerita. Tidak kurang juga yang tidak ada bola di kaki tapi tetap ligat membuat aksi menyerang janji bergaya biar bola di kaki lawan. Jangan lupa sekali sekala kita import penyerang, tetapi penyerang ini hanya menyerlah di “home” dan bila terpaksa bermain di “away” dia melakukan serangan yang memudahkan lawan melakukan “counter-attack”. Tatkala pasukan diserang balas, penyerang tersebut hanya melihat dan akhirnya pasukan bola itu dibolosi dengan gol. 

Walaubagaimanapun, penyerang ini akan selamat daripada cemuhan para penyokong kerana akhirnya, kekalahan tersebut adalah akibat kesalahan barisan pertahanan dan penjaga gol. Tetapi seorang penyerang, tatkala dalam kemenangan, dia akan dinobatkan sebagai wira yang berjaya menjaringkan gol sekali gus kita tidak dapat menafikan kepentingan seorang penyerang. 

Posisi Kedua: Barisan Tengah (Midfielder) Barisan ini sebenarnya barisan yang penting kerana menjadi perantara pertahanan dan penyerang, barisan ini jugalah menjadi barisan yang mencorakkan suatu permainan. Barisan tengah yang gah memudahkan penyerang dan menguatkan pertahanan. Barisan tengah ini memerlukan daya intelek yang tinggi untuk mengatur corak permainan agar sentiasa mantap dan nampak cantik. 

Suatu jaringan yang mantap datang daripada bantuan atau “assist” yang memudahkan suatu penyudah. Namun kadang kala lumrah manusia kita hanya ingat pada kesudahan dan tidak ingat kepada jalan kepada suatu kesudahan itu. Ramai yang ingat dengan gol kemenangan oleh James Wong ketika menentang Korea Selatan pada tahun 1980, tapi tidak ramai yang ingat gol beliau adalah hasil hantaran cantik Hassan Sani selepas mengelecek ramai barisan pertahan lawan. Maaf andai kata kurang manis, Hanya sekadar cerita untuk dikongsi; Panjang cerita bukan janji manis, Seorang mantan tidak mampu menabur lagi Posisi seterusnya: 

Pertahanan (Defender) Barisan ini tentunya penting untuk menahan daripada serangan lawan, barisan ini haruslah membawa sikap biar putih tulang jangan putih mata, ada yang sanggup biar cedera asal lawan tidak bolos, tidak kurang juga yang bertungkus lumus menjaga kubu pasukan daripada diserang lawan. Namun tidak kurangnya yang sengaja memberi bola mudah untuk pasukan lawan, agar ada serangan dari pihak lawan, dan pertahanan itu nampak bekerja keras untuk mempertahankan kubu. 

Tetapi malangnya, barisan ini selalu disalahkan tatkala pasukan dibolosi gol dan selalunya barisan ini bukan menjadi “highlight” sekiranya pasukan itu memenangi satu perlawanan. Tentunya orang akan lebih ingat, kalahnya satu pasukan itu dalam perlawanan akhir kerana kecuaian barisan pertahanan daripada mengingati menangnya satu pasukan itu dalam perlawanan akhir kerana kemantapan barisan pertahanan. Hal ini tentu kerana suatu kemenangan tentu lebih dikaitkan dengan jaringan gol yang dihasilkan oleh barisan serangan. 

Posisi terakhir: Penjaga gol Penjaga gol merupakan benteng terakhir, yang menjadi penentu untuk keselamatan tiang gol andai pihak lawan berjaya melepasi semua barisan dalam pasukan. Penjaga gol hanya ada satu dalam setiap pasukan dan sememangnya penting, kerana serangan bertubi-tubi daripada pasukan lawan. Namun mana ada bumi tidak ditimpa hujan, sehebat mana penjaga gol, tetap ada bolosnya. Tetapi, lumrah manusia, yang diwar-warkan adalah bolos bukan berapa tepisan. 

Berakhir dengan segala posisi masih ada satu entiti penting dalam satu pasukan: Jurulatih dan barisan pembantu jurulatih: Seorang jurulatih dan barisan pembantunya amat penting dalam memberi latihan dan tunjuk ajar kepada para pemain. Hal ini kerana segala tunjuk ajar amat penting agar para pemain dapat melakukan tindakan yang sewajarnya ketika berada di padang untuk perlawanan sebenar. Ketika di perlawanan sebenar, segala arahan jurulatih dari tepi padang sebenarnya kurang efektif, seorang pemain ketika dalam suatu perlawanan perlu tahu membuat keputusan sendiri secara wajar. 

Namun barisan jurulatih pula harus tidak mengamalkan “favoritism” seperti hanya pemain yang mengikut tunjuk ajar secara bulat-bulat akan digemari tetapi pemain yang tidak menggunakan teknik yang diajar secara bulat-bulat pula dikatakan tidak menyerlah walhal pemain itu telah “improvise” teknik untuk mendapat hasil yang lebih baik mengikut kreativiti. Para pemain pula janganlah terlalu “rigid” dengan garis panduan yang disediakan oleh jurulatih dengan harapan untuk mendapatkan tempat dalam pasukan walhal pemain itu mempunyai kelebihan yang lebih dari itu. 

Jurulatih pula harus sentiasa memberi dorongan dan semangat serta memberi perkongsian pengalaman tetapi haruslah mengelakkan daripada “oh saya dulu waktu saya jadi pemain, saya boleh buat skill tu, skill ini, sekarang kamu mahu tendang bola pun tidak tahu”. Andai benar boleh dan pernah melakukan skill itu Alhamdulillah, namun andai auta tidak adil buat pemain bawah latihannya. Dapatlah kita simpulkan di sini bahawa dalam satu pasukan bola sepak semua posisi haruslah seimbang , andai ada satu yang rapuh , pasukan itu juga ikut rapuh. 

Begitulah kita dalam Kelab UMNO Kaherah dan juga dalam kehidupan bermasyarakat. Bersatulah kita dalam melakukan semua perkara. Kita juga harus sentiasa ingat niat asal perjuangan kita. Perjuangan kita, perjuangan agama, bangsa dan negara. Perjuangan kita demi mempertahankan perjuangan nenek moyang kita serta memelihara generasi akan datang. Ingatlah, perjuangan kita bukanlah perjuangan peribadi, bukan perjuangan harta, bukan perjuangan untuk mendapatkan pingat, bukan perjuangan untuk mendapatkan penghargaan manusia, dan bukan jugalah perjuangan untuk menambah sengketa tetapi semata-mata untuk yang Esa. 

Sedarlah kita, masa depan negara berada di tangan kita, usahlah kita terus hanyut dengan keselesaan masa yang sebenarnya sudah suntuk. Semboyan sudah lama berbunyi, bukan untuk memerangi saudara sendiri tetapi untuk memperjuangkan hak yang hakiki. Namun jangan terlalu leka dengan yang nampak megah tetapi lupa pada yang utama, kita harus sedar, perjuangan utama kita adalah untuk mendapatkan segulung ijazah yang akan menjadi tiket kepada perjuangan yang lebih jauh lagi di masa hadapan demi agama , bangsa, dan tanah air. 

Sebelum mengundur diri sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan Kelab UMNO Kaherah sesi 2010/2011. Terima kasih kepada yang memberi sokongan, nasihat , kritikan dan bantuan kepada kelab. Tidak lupa juga setinggi penghargaan kepada individu yang sentiasa memberi sokongan secara peribadi kepada diri ini. 

Tanpa sokongan, tidak mungkin saya mampu bertahan menggalas amanah ini. Kepada kepimpinan sesi 2011/2012 selamat berkhidmat dan berusahalah membawa Kelab UMNO Kaherah ke arah kejayaan. Ingatlah amanah bukanlah sesuatu yang mudah, kita mensasarkan impak dan kesan yang besar, bukannya kerja dan cakap yang besar tetapi impak dan kesan tiada dan kecil. Tajdidkan niat kerana Allah SWT dalam semua gerak kerja yang dijalankan. Andai di depan jangan lupa yang di belakang, Berjuang jangan hanya mengejar penghargaan. Pada dia yang sentiasa berada dibelakang; Sejuta penghargaan saya dititipkan. 

Kalau ada jarum yang patah, Jangan disimpan di dalam peti; Kalau ada silap dan salah, Jangan disimpan di dalam hati. Dengan ini saya mengakhiri ucapan perpisahan saya sebagai Pengerusi Kelab UMNO Kaherah sesi 2010/2011 dan mengucapkan selamat datang kepada kehidupan saya sebagai seorang ahli yang sentiasa mendokong perjuangan kelab. Sekian Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 


 SUMBER : Nukilan Wan Motor

0 comments:

Post a Comment

TV Media Mesir