Thursday, July 28, 2011

Isu Pengharaman PMRAM : PMIUM Harap PMRAM Tabah


KUALA LUMPUR, 27 Julai: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) hari ini menyatakan simpati dan kecewa dengan tindakan pihak kedutaan Malaysia di Mesir yang mahu mengharamkan Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Kebelakangan ini, pelbagai berita dan ura-ura telah timbul bahawa kerajaan Malaysia melalui kedutaan di negara Afrika Utara itu ingin mengambil tindakan tegas terhadap PMRAM.

PMRAM dikatakan telah mengepalai rakyat dan penuntut Malaysia dalam penganjuran perhimpunan Bersih 2.0 di negara terbabit dua minggu lalu.

Sebaik sahaja selesai perhimpunan 9 Julai lalu, beberapa penuntut Malaysia di sana juga telah diambil tindakan tegas dengan menggantung pengajian serta dipotong yuran pengajiannya.

Namun, sumber daripada beberapa ahli PMRAM telah menyatakan terdapat cubaan mengeksploitasi telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

Menurut pelajar tersebut, terdapat beberapa maklumat palsu telah dihantar oleh kedutaan Malaysia kepada Universiti Al-Azhar semata-mata ingin memastikan penubuhan PMRAM diharamkan secepat mungkin.

Sementara itu, Timbalan PMIUM, Rohayu Rusli mendoakan agar ahli-ahli PMRAM terus kuat dan tabah dalam menangani situasi tersebut.

“Saya bersama seluruh kepimpinan PMIUM menyokong dan mendoakan sahabat-sahabat PMRAM yang mendapat ancaman untuk diharamkan.

Rohayu dalam kenyataannya turut menyatakan tindakan itu amat tidak wajar dan kerajaan Malaysia harus mengubah fikiran segera.

“Saya gesa kerajaan pentadbiran Datuk Seri Najib ubah fikiran kerana tindakan seperti itu akan lebih memburukkan keadaan kerana mahasiswa dan anak muda akan bangkit menentang.

“Walaupun perkara ini (haramkan PMRAM) sudah sekian lama didengar namun kita selaku mahasiswa harus memandang serius dan suara mahasiswa sewajarnya tidak patut disekat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

TV Media Mesir