Tuesday, August 30, 2011

TINDAKAN PEGAWAI HEP PERAK MENYUSAHKAN ANAK-ANAK PERAK DI ZAGAZIG

    Zagazig, 15 Ogos 2011 :  Semakin hari, semakin banyak isu-isu yang berkaitan dengan masalah pegawai-pegawai yang tidak professional dalam melaksanakan tanggungjawab di Mesir. Terbaru adalah tindakan pegawai HEP Perak, En. Muhaimin yang datang ke Zagazig membawa delegasi dari Yayasan Perak dibawah arahan Menteri Besar Perak untuk membuat beberapa pantauan terhadap keselamatan dan kebajikan anak-anak Perak yang berada di Mesir. 

     En. Muhaimin telah bertindak tidak professional apabila tidak memaklumkan kepada BKAN Perak tentang lawatan ke Zagazig tersebut. Ini menunjukkan seolah-olah beliau tidak menghormati kewujudan BKAN Perak (KPIPM) yang menaungi semua anak-anak negeri Perak di Mesir. Tidak cukup dengan itu, beliau juga tidak memaklumkan perkara yang sama kepada DPM Zagazig sebagai persatuan induk pelajar-pelajar Malaysia di Zagazig yang mana menyebabkan program tersebut telah bertembung dengan program dibawah anjuran DPMZ pada waktu yang sama. Kecelaruan semakin menjadi-jadi apabila mandub (wakil KPIPM)  Perak juga tidak dimaklumkan mengenai kedatangan delegasi pegawai menyebabkan sebahagian besar mahasiswa Perak tidak mendapat maklumat. Program tersebut diadakan pada masa yang sama DPMZ mengadakan program di Markaz (Dewan Darul Wehdah).

     Kebanyakan mahasiswa Perak hanya hadir selepas selesai majlis iftar bersama pegawai kerana maklumat baru sampai ke pengetahuan mereka. Mereka agak terkejut apabila mendapati majlis bersama pegawai Yayasan Perak diadakan di Markaz Agensi Akademi Quran(AQ) iaitu sebuah rumah yang disewa oleh agensi yang membawa pelajar Perubatan dan Farmasi ke Zagazig. Markaz ini dijaga oleh persatuan Siswa AQ.  Perkara yang sama pernah berlaku pada Mac lalu apabila En.Muhaimin mengadakan majlis di markaz tersebut. Beliau juga pernah diperingatkan oleh wakil DPMZ mengenai segala program bersama ahli di sini perlu dimaklumkan dan program mestilah dilaksanakan di Dewan Darul Wehdah. Wakil DPMZ menegaskan perkara tersebut kerana ianya bersangkutan dengan qarar (peraturan) di sini. Malangnya, perkara yang sama berlaku lagi. Sedangkan kedatangan pegawai KBMK dan EM dimaklumkan kepada DPMZ dan Amni Daulah inikan pula kedatangan beliau selaku pegawai HEP Perak. Tindakan mengadakan program tersebut di Markaz AQ juga tidak relevan kerana persatuan Siswa AQ tidak mewakili seluruh mahasiswa di Zagazig sedangkan mahasiswa Perak yang terdiri daripada Pengajian Islam dan Sains Kesihatan (Perubatan & Farmasi) kebanyakannya menjadi ahli DPMZ. 

     Perkara ini menunjukkan kepada kita bahawa Siswa AQ adalah persatuan yang boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang tidak professional seperti En. Muhaimin kerana mahasiswa Mesir khususnya warga Perak sudah sedia maklum dengan tindakan kurang professional yang pernah dilakukan beliau selama ini. Mahasiswa juga pastinya belum lupa tindakan beliau menyenaraihitamkan seramai 27 orang mahasiswa Perak yang didakwa menyertai BERSIH 2.0 di seluruh Mesir supaya mereka tidak diberikan Dermasiswa Zakat dari Majlis Agama Islam Perak (MAIPK). Selain itu, berdasarkan laporan daripada laman sosial sesawang facebook KJ BOCOR sebelum mendedahkan  persatuan Siswa AQ Zagazig juga pernah dikatakan terlibat dengan projek meng’UMNO’kan seluruh mahasiswa di Mesir melalui penceramah Sidek Baba. Rumusannya, persatuan Siswa AQ adalah persatuan yang tidak mempunyai prinsip yang jelas mengenai dasar mereka serta pendirian mengenai isu kezaliman terhadap mahasiswa yang hangat dibicarakan sekarang. Tindakan ini juga membenarkan kenyataan KJ BOCOR bahawa persatuan Siswa AQ merupakan boneka kepada pihak tertentu.

     Mahasiswa Perak yang hadir lewat ke program tersebut mendapati kebanyakan orang yang hadir bukan berasal dari Perak. Persoalan timbul di benak fikiran sama ada En. Muhaimin sengaja memenuhkan markaz tesebut dengan kehadiran mahasiswa negeri lain untuk menutup kesilapan yang berlaku daripada diketahui oleh delegasi pegawai Yayasan Perak atau perkara ini telah dirancang supaya sebahagian besar mahasiswa Perak tidak mendapat kebajikan yang sepatutnya. Pegawai Yayasan Perak memaklumkan tujuan kehadiran mereka ialah bermotif kebajikan dan mereka ingin mendengar sebarang permintaan daripada anak-anak Perak supaya kebajikan dapat disalurkan. Mahasiswa Perak yang hadir mengalu-alukan kedatangan pegawai tersebut akan tetapi mereka tidak berpuas hati dengan tindakan En. Muhaimin kerana ianya boleh mengakibatkan kebajikan anak Perak terabai. Suara anak-anak negeri lain berkenaan kebajikan lebih banyak didengar daripada suara anak Perak sendiri. 

     Anak-anak Perak yang hadir turut mempersoalkan tindakan beliau dalam majlis tersebut. Selain itu, beliau turut diajukan soalan-soalan mengenai  isu penarikan zakat 27 mahasiswa Perak dan kredibiliti beliau selaku pegawai HEP Perak. Beliau juga dipersoalkan kerana tidak melibatkan Yang Dipertua Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) kerana kebiasaannya YDP lebih memahami situasi warga Perak di Mesir. Salah seorang yang hadir meminta En. Muhaimin mengadakan dialog tebuka bersama mahasiswa untuk menjelaskan isu-isu berkaitan yang menjejaskan kredibiliti beliau serta kezaliman terhadap mahasiswa Perak kerana tindakan beliau boleh memalukan serta mencalar imej Kerajaan Negeri Perak. Namun, En. Muhaimin hanya sekadar terdiam setelah diasak pelbagai soalan. Beliau hanya menafikan perkara berkaitan tindakan penarikan zakat anak-anak Perak yang menyertai BERSIH 2.0. Akan tetapi, ketika seorang mahasiswa berjumpa dengannya secara peribadi setelah tamat program tersebut beliau mengaku bertanggungjawab dalam isu penarikan zakat.  

                Akhirnya, kebajikan anak Perak terabai dan peranan BKAN Perak iaitu KPIPM dinafikan. Pegawai HEP Perak sepatutnya mengikut teladan pegawai negeri-negeri lain yang berkhidmat dengan baik kepada anak-anak negeri serta bekerjasama dengan BKAN dalam memberi kebajikan kepada mahasiswa. Banyak BKAN yang datang ke muhafazah bersama pegawai akan tetapi kerjasama yang diberikan kepada DPM amat baik dan markaz DPM dapat digunakan untuk mengumpulkan seramai mungkin anak negeri yang hadir. En. Muhaimin perlu bertanggungjawab dengan semua yang telah berlaku. Kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar mati kelaparan.

1 comments:

Adakah ini merupakan satu artikel yang melambangkan semua kebenaran situasi yang berlaku ? saya merasakan ianya tidak. Hanya kisah satu pihak yang dipaparkan. Walaupun, En Muhaimin bersalah sekalipun, tak salah kalau memaparkan keterangan dia. Setelah cerita dua pihak disiarkan, baru pembaca dapat menilai antara permata dan kaca. Kalau tak sama sahaja macam akhbar Utusan, BH, Metro, Suara keadilan dan Harakah. Orang Melayu terus membodohkan diri sendiri dan kekal diperbodohkan.

Post a Comment

TV Media Mesir