Isu yuran markaz bahasa yang
menemui jalan buntu belum dijawab secara rasmi oleh Education Malaysia Egypt.
Pihak yang sewajarnya bertanggungjawab penuh dalam masalah ini, sepatutnya
menyatakan pendirian mereka secara lebih jelas. Bukan hanya sekadar
mengeluarkan laporan rasmi pertemuan dengan pihak Azhar malah mereka perlu
mengeluarkan satu kenyataan rasmi dari pihak mereka sendiri yang mampu
menjelaskan situasi sebenar dan menghilangkan resah gelisah para pelajar.
Situasi para pelajar yang
berbeza dan datang dari pelbagai latar belakang perlu di ambil kira oleh pihak
E.M agar para pelajar yang kurang berkemampuan dari sudut kewangan akan terbela
nasib mereka bagi meneruskan pengajian di Mesir. Soal kewangan bukanlah isu
yang remeh. Oleh sebab itu, pihak E.M wajar mencari alternatif yang terbaik
bagi meringankan beban yang ditanggung oleh para pelajar.E.M perlu menampakkan
imej dan fungsi mereka sebagai jabatan yang mempunyai tanggungjawab bagi
menyelesaikan segala masalah yang berkaitan dengan pelajar.
Jika masalah yang berkaitan
dengan pelajar masih berterusan, E.M wajar ditutup dan digantikan dengan sebuah
jabatan yang baru berserta pegawai dan imej yang baru bagi mengembalikan
keyakinan para pelajar terhadap fungsi dan peranan para pegawai yang dihantar
bertugas di Mesir. Soal masa depan rakyat bukanlah sesuatu yang boleh
dipermainkan atau diperlecehkan. Jangan hanya kerana kemalasan yang membelenggu
jiwa para pegawai, akhirnya nasib masa depan pelajar tergadai serta
menghancurkan impian mereka.
Kedutaan juga tidak patut
memekakkan telinga dan membisukan mulut dalam isu yuran. Slogan rakyat
didahulukan pencapaian di utamakan tidak mampu diamalkan dalam sistem kerja
para pegawai yang bertugas di Mesir.Kalau para pelajar di beberapa buah
Universiti di Malaysia layak menerima baucer buku 1 Malaysia, mengapa tidak
diusahakan baucer tersebut untuk para pelajar yang berada di Mesir. Apakah kesusahan
para pelajar yang berada di sini sudah tidak diambil endah oleh kerajaan.Mana
suara-suara pegawai dalam menyampaikan masalah kepada kerajaan yang semakin
terdesak untuk meraih simpati dan sokongan rakyat.
Hari semakin hari, masalah
para pelajar Mesir makin bertambah. Para pegawai pula semakin mewah dengan
pelbagai kemudahan dan kesenangan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan
mereka di Mesir. Soal keselamatan , isu kesukaran mendapatkan visa, masalah sosial
dikalangan para pelajar agama dan perubatan serta pelbagai lagi isu yang
sepatutnya E.M sedar dan celik bahawa keberadaan E.M di Mesir hanyalah sia-sia
dan tidak berguna. Harapan agar kepimpinan E.M bertukar kepada golongan yang
lebih memahami masalah yang berkaitan
dengan pelajar dan sistem pendidikan di Mesir.
0 comments:
Post a Comment