Zoo dapat puluhan juta ringgit, pelajar...
Ramai kalangan telah
melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu
yang bertindak membatalkan serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan
Terengganu (YT) kepada enam pelajar Terengganu yang sedang belajar di Mesir setelah
mereka didapati bersalah terlibat dalam demostrasi ‘BERSIH' di Kota Kairo pada
tahun lepas.
Tindakan ini
dilihat sebagai ‘tidak matang’ dan lebih bermotifkan campurtangan politik
pemimpin Umno Terengganu sendiri.
Alasan yang
diberikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bahawa keputusan
untuk menarik balik tajaan ke atas pelajar berkenaan adalah kerana keenam-enam
pelajar yang sedang menuntut di beberapa universiti di Mesir itu didapati
bersalah kerana terlibat dalam himpunan demostrasi, rentetan usaha untuk
mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Bersih 2.0.
Beliau menyatakan
bahawa kerajaan Terengganu telah meneliti dan selepas mengambil kira
penglibatan mereka yang secara jelas telah dikatakan melanggar peraturan dan
perjanjian pinjaman dengan kerajaan Terengganu di bawah Fasa 1 perjanjian iaitu;
(a) “mengambil apa
jua bahagian dalam sesuatu penghasutan atau tunjuk perasaan di mana-mana tempat
oleh apa-apa pertubuhan badan atau kumpulan orang iaitu penghasutan atau tunjuk
perasaan yang pada pendapat Lembaga adalah memudaratkan kepentingan Malaysia
atau institusi pendidikan.”
Apa yang lebih
pelik lagi apabila Ahmad Said berhujah bahawa tindakan pelajar yang terbabit
dengan himpunan BERSIH itu sebagai ‘kegiatan yang tidak bermoral’ yang hingga
akhirnya akan merugikan diri mereka sendiri kerana tidak berjaya menamatkan
pengajian masing-masing dengan terlibat dalam himpunan BERSIH. Beliau
selanjutnya dilaporkan berkata; “Kita hantar mereka (pelajar) ke Mesir untuk
menuntut ilmu tetapi apa yang mereka lakukan adalah pergi berdemostrasi,
berpolitik dan situasi ini tidak seharusnya berlaku”.
Bagi saya tindakan
yang di ambil oleh kepimpinan Ahmad Said ini menyerlahkan lagi sifat beliau
sebagai seorang Menteri Besar yang ‘kurang cerdik’, dan ‘kebudak-budakkan’
serta tidak mampu untuk berfikir sebagai seorang pentadbir dan pemerintah yang
baik. Tindakan ini juga jelas menyerlahkan sifat beliau yang terkenal dengan
amalan politik dendam dan tidak selari dengan suara Mahasiswa dan anak muda
yang mahukan perubahan.
Persoalannya, Apakah
Ahmad Said tahu apakah tujuan dan matlamat sebenar Himpunan BERSIH 2 itu?
Ia adalah tuntutan dan suara rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum bagi
mendapatkan hak mereka bagi mereformasikan sistem pilihanraya dan
demokrasi yang ‘tempang dan pincang’ agar ianya telus dan adil di negara kita.
Ia juga adalah merupakan suara rakyat yang cintakan keadilan dan mahu kepada
pembenterasan segala bentuk salahguna kuasa dan rasuah dalam negara kita.
Apakah ini merupakan satu ‘kegiatan yang tidak bermoral’ yang telah dilakukan
oleh pelajar-pelajar tersebut seperti tanggapan ‘cetek’ Ahmad Said?
Begitu juga dengan
tuntutan media yang bebas dan adil. Sebagai contohnya, negara Myanmar yang di
perintah oleh junta tentera kini telah membuka sedikit demi sedikit ruang
kebebasan dalam bidang media. Semua parti dan ahli politik termasuk pembangkang
kini mendapat layanan yang lebih baik dalam memaparkan aktiviti, menyampai
pandangan, dan melapurkan manifesto masing-masing di akhbar, radio
dan TV.
Namun yang jelas di
negara kita, media arus perdana terus dikongkong walaupun kita telah
merdeka lebih 50 tahun. Hak media arus perdana seolah-olah menjadi milik
eksklusif kerajaan Umno/BN semata-mata. Rakyat semahu-mahunya terus
‘diperbodohkan’.
Apa salahnya
tuntutan rakyat mendapat akses media dengan adil dan bebas ini? Intipati dalam
mana-mana amalan demokrasi ialah keadilan kepada rakyat mendapat maklumat dan
memberi maklumat. Apakah tuntutan media yang bebas dan adil dari mahasiswa ini
juga merupakan satu lagi ‘kegiatan yang tidak bermoral’ seperti tanggapan
‘cetek’ Ahmad Said?
Apakah Ahmad Said
tidak peka bahawa selain dari ratusan ribu yang telah berhimpun di Kuala
Lumpur, dalam himpunan aman Bersih 2.0. pada tahun lepas ia juga turut juga di
sertai oleh ribuan pelajar-pelajar Malaysia di serata dunia termasuk di Kota
London, Paris, New York, Melbourne, Hong Kong, Dubai, Qatar dan Jakarta.
Saya yakin
pelajar-pelajar ini semuanya berhimpun dengan memakai baju kuning BERSIH
hanya demi untuk memastikan negara yang bakal mereka curahkan bakti adalah suci
dan bersih dari segala kekotoran penyelewengan, salahguna kuasa dan
rasuah.
Ya, sudah sampai
masanya bagi mahasiswa dan anak muda Terengganu bangkit bagi menentang
kezaliman yang dilakukan terhadap anak bangsa mereka sendiri. Kalaulah
kepimpinan Ahmad Said boleh menjaga dan membelai gajah, harimau dan kera di Zoo
Kemaman dengan peruntukan puluhan juta ringgit setiap tahun, maka apakah ini
balasan kepada anak bangsa sendiri yang dianaiya dek kerana ’dendam politik’
yang sempit? Ayuh anak muda Terengganu bersama-sama membuat perubahan dalam
Pilihan Raya Umum yang ke-13 nanti bagi mengajar keangkuhan kepimpinan Ahmad
Said.
Sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9263-zoo-dapat-puluhan-juta-ringgit-pelajar
0 comments:
Post a Comment