Bersih
3.0 dijangka berlaku bulan ini, kata sumber
KUALA LUMPUR, 3 April — Bersih dijangka
akan mengumumkan esok tarikh perhimpunan ketiganya untuk pilihan raya yang
bersih dan adil, yang mana menurut sumber badan pemerhati pilihan raya itu akan
berlaku hujung bulan ini.
Salah seorang jawatankuasa pemandu
Bersih yang enggan mendedahkan identitinya berkata kepada The Malaysian
Insider butiran berkenaan “Bersih 3.0” akan didedahkan sewaktu sidang
media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH) di sini.
Beliau
bagaimanapun tidak memberikan butiran walaupun laporan di Internet menyebut 28
April ini sebagai tarikh untuk perhimpunan berikutnya, dan Dataran Merdeka
sebagai lokasi perhimpunan tersebut.
Sumber lain yang dihubungi juga tidak mengesahkan dan menidakkan khabar
angin tersebut, namun mengakui semalam bahawa kumpulan tersebut telah bergerak
untuk menuntut perubahan pilihan raya yang lebih besar.
Perkara itu jelas sumber tersebut, berlaku akibat daripada
kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan pilihan raya (PSC) menyelesaikan
isu pokok dan menunaikan tuntutan Bersih sebelum ini di samping pilihan raya
yang bakal berlaku.
Sumber itu menambah, lebih banyak bukti penipuan sistem pilihan
raya akan didedahkan, yang akan membuktikan PSC adalah sekadar hiasan pentadbiran
Najib untuk menunjukkan keikhlasannya melaksanakan pembaharuan sistem pilihan
raya.
“Kami telah menemui bukti penipuan sistem pilihan raya yang lebih
banyak dan menimbulkan tanda tanya sama ada keseluruhan PSC itu hanyalah
sekadar satu penipuan,” kata sumber berkenaan.
“Melalui perhimpunan, kamu boleh sebut saya tidak mengesahkan,
atau menafikan perkara itu.
“Tapi apa yang saya boleh katakan adalah bukti penipuan tersebut
adalah sangat jelas.”
Sembilan ahli bipartisan PSC telah diumumkan Datuk Seri Najib
Razak tahun lalu setelah berbulan lamanya pentadbiran beliau menerima kritikan
ketika menguruskan perhimpunan Bersih kedua pada 9 Julai.
Selepas enam bulan perbincangan, panel berkenaan telah menyiapkan
22 hasil laporan akhir dan akan diserahkan kepada wakil rakyat di Parlimen
semalam.
Perbahasan berkenaan laporan itu dijadualkan berlangsung 11.30
pagi hari ini namun, Pakatan Rakyat (PR) telah menyatakan kekecewaan mereka
terhadap hasil laporan tersebut.
Selain itu, tiga ahli PR dalam PSC sejak minggu lalu sering
mengkritik panel kerana dikatakan gagal menyelesaikan isu utama bagi
membersihkan pilihan raya, terutamanya dakwaan kurangnya komitmen Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan sistem pilihan raya.
SPR, yang mana ahli PR telah berulangkali mendedahkan terdapatnya
kehadiran 42,000 pengundi hantu di dalam daftar sistem mereka, namun mereka
tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Tambahan lagi, mereka menyatakan suruhanjaya berkenaan gagal
mengemukakan kaedah yang sesuai untuk membenarkan rakyat Malaysia di luar
negara untuk turut mengundi, walaupun telah didesak untuk dikemukakan dalam
laporan interim PSC Disember lalu.
Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga, pada 18 Mac telah memberi
amaran kepada Putrajaya kemungkinan berlakunya Bersih3.0, ekoran penambahbaikan
pilihan raya sengaja dilambat-lambatkan dan penambahan pengundi secara mendadak
di sesetengah kawasan Parlimen.
“Melihatkan
kepada keadaan sekarang, kami tiada pilihan lain. Selain Bersih 3.0,” kata
Ambiga kepada The Malaysian Insider.
“Sekiranya kerajaan tidak serius berkenaan penambahbaikan pilihan
raya, biar rakyat jadikan perkara itu didengari,” tambahnya.
Pemimpin PR turut menyatakan sokongan mereka terhadap perhimpunan
berkenaan kerana kerajaan gagal memenuhi tuntutan untuk pilihan raya yang lebih
adil.
Ribuan rakyat Malaysia telah menyertai perhimpunan 9 Julai Bersih
2.0 yang kemudiannya menjadi ganas apabila polis melancarkan gas pemedih mata
dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Situasi berkenaan menyaksikan 1,000 orang telah ditangkap termasuk
sebelum perhimpunan berlangsung, dan Najib menerima kritikan daripada media
antarabangsa.
Berdasarkan tekanan tersebut, kerajaan telah menjanjikan
reformasi, yang mana turut melibatkan pembentukan PSC dan enakmen yang menerima
kritikan hebat, Akta Perhimpunan Aman tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment