Monday, July 25, 2011

Artikel : Isu Hak Mahasiswa, Kenapa Perlu Cakna?


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang,

Tidaklah saya menyusun untaian kata ini melainkan hanyalah untuk keredhaan Allah s.w.t. dan semoga menjadi kifarah dosa buat diri saya yang kelam diselaputi dosa noda. Saya juga tidak mampu untuk menghuraikan pandangan syarak berkaitan dengan isu ini kerana saya bukanlah seorang yang layak untuk membahaskannya.

Telah disebut dalam sepotong hadith sahih Rasulullah s.a.w. mafhumnya:

“Apabila manusia melihat seorang penzalim dan tidak cuba mnghalangnya, maka Allah akan membalas mereka dengan azab-Nya”.

Hadith di atas menunjukkan betapa Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak mahu ummatnya untuk tunduk kepada kezaliman. Islam adalah agama rahmat yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama makhluk kepada menghambakan diri kepada Allah.

Justeru, kita perlu untuk menyatakan kebenaran tanpa perlu takut kepada mana-mana pihak kerana Tuhan atau kepatuhan kita adalah kepada Allah, kepatuhan kepada selain daripada-Nya tidak bersifat mutlak.

Ramai yang berkata, kenapa perlu aku menyibukkan diri memikirkan masalah orang lain? Aku datang ke sini untuk belajar, aku mahu menjadi seorang doktor!

Pemikiran di atas sebenarnya tidak layak bagi seorang pengamal perubatan. Seorang pengamal perubatan terkenal dengan sikap membantu orang lain tanpa memikirkan kepentingan diri sendiri, seorang pengamal perubatan terkenal dengan sikapnya yang sanggup berkorban demi orang lain. Sekiranya anda rasa tidak mahu menyusahkan diri kerana orang lain atau tidak mahu membantu orang lain, maka saya syorkan anda tukar kos pengajian anda. Carilah bidang lain yang tidak memerlukan anda untuk berkorban. Carilah bidang lain yang anda boleh bersikap pentingkan diri sendiri.

Sikap tolong menolong sahabat-sahabat lain dalam kesusahan adalah salah satu dari intipati ajaran Islam. Konsep Ukhuwwah yang dianjurkan Islam tidak mengenal erti sempadan warna kulit, ideologi, pengajian, dan kecenderungan. Ukhuwwah Islamiyah tidak memerlukan anda untuk menyertai kelompok tertentu untuk berukhuwwah. Ia hanya memerlukan i’tiqad yang sahih.

Terdapat juga sesetengah orang merasa takut atau bungkam untuk menyatakan kebenaran kerana disebabkan takut tindakan penguasa, takut akan hilangnya rezeki, takut akan cita-citanya tidak tercapai.

Bagaimanakah keimanan orang-orang yang mempunyai pendirian sebegini?

Tidakkah mereka tahu yang pemilik kekuasaan adalah Allah?

Tidakkah mereka yakin bahawa rezeki itu diturunkan oleh Allah?

Tidakkah mereka mengimani bahawa cita-cita dan masa depan semuanya ditentukan oleh Allah?

Mana keimanan kepada Allah?

Apakah anda beranggapan Allah itu lemah dari penguasa di bumi?

Nauzubillah, Maha Suci Allah dari segala sifat yang lemah.

Ubahlah sikap takut kita, dari takut kepada makhluk kepada takut kepada Allah, dari ber “tawakkal” kepada makhluk kepada tawakkal kepada Allah.

Saya tamatkan untaian kata ini dengan sepotong hadith yang mafhumnya:

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata:

“Aku pernah duduk di belakang Nabi s.a.w. pada suatu hari, lalu baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).”

Info Penulis

Hazrie Hayat Sofaruddin merupakan mahasiswa Tahun 3 Universiti Kaherah, aktif dalam PERUBATAN dan sentiasa cakna dengan isu-isu semasa

Sumber : Perubatan.org

0 comments:

Post a Comment

TV Media Mesir