Wednesday, August 10, 2011

Isu Mahasiswa Terengganu : PMRAM Optimis Pertahankan Hak Mahasiswa


KAHERAH, 10 Ogos - Isu 9 mahasiswa Islam Terengganu yang menerima notis daripada kerajaan negeri Terengganu untuk memberikan surat tunjuk sebab berkenaan penglibatan mereka dalam himpunan 9 Julai baru-baru ini mendapat perhatian yang serius di peringkat PMRAM.

PMRAM telah menghubungi Yang DiPertua Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir ( KPT ) , Saudara Mohd Riduan Abu Bakar dalam mendapatkan maklumat terkini berkaitan isu tersebut.

Sebelum ini satu perjumpaan kepimpinan antara PMRAM dengan KPT Mesir pada 22 Julai telah diadakan bagi membincangkan isu mahasiswa apabila mahasiswa Terengganu diugut untuk ditarik zakat dan pinjaman.

PMRAM dimaklumkan bahawa kesemua mahasiswa Islam tersebut telah memberikan surat tunjuk sebab sebagai respon bagi notis yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Terengganu.

Menurut Timbalan Presiden,Saudara Abdul Aziz Ali bahawa beliau dan beberapa Badan Pengurus PMRAM yang lain akan pergi menemui 9 mahasiswa tersebut pada malam ini selepas solat terawih untuk menyatakan bahawa PMRAM sentiasa bersama mereka dalam isu yang mereka sedang hadapi.

"PMRAM optimis dalam mempertahankan hak mahasiswa di Mesir. PMRAM sesekali membidas mana-mana pihak yang cuba menyekat kematangan mahasiswa dalam perkembangan idealisme," ujar beliau dengan tegas.

"PMRAM akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui pihak KPT atau PMRAM Cawangan Terengganu. PMRAM memuji KPT atas komitmen yang ditunjukkan dalam membantu kebajikan ahlinya serta tahniah kepada mahasiswa tersebut atas keberanian yang dipamerkan," tambah beliau lagi.

0 comments:

Post a Comment

TV Media Mesir